Search This Blog

Mengapa Anda Juga Wajib Berdakwah? (2)

Written on 9:35 PM by WhoSign



Alasan Yang Selalu Diberi & Kekeliruan Yang Digembar-gembur


Kekeliruan 1: Urusan dakwah khusus bagi sesetengah orang islam.

Sesetengah orang dengan salah fahamnya berpendapat bahawa urusan dakwah hanya khusus bagi sesetengah orang sahaja. Mereka berdalilkan firman Allah dalam surah ali imran ayat 104 yang bermaksud:


ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير ويأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر وأولئك هم المفلحون

“Dan hendaklah ada daripada kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Mereka mengatakan perkataan منكم (daripada kamu) di dalam ayat adalah bermaksud sebahagian kamu.


Jawapan:

Imam ar-razi mengulas, perkataan منكم (daripada kamu) di dalam ayat tersebut bukanlah menunjukkan sebahagian (tab’idh). Ini berdasarkan dalil berikut:

1. Allah mewajibkan menyuruh makruf dan mencegah munkar ke atas semua umat dalam firmanNya, surah ali imran ayat 110 yang bermaksud:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.”

2. Setiap mukallaf diwajibkan menyuruh makruf dan mencegah munkar dengan tangan, atau lidah, atau hatinya sebagaimana hadis yang bermaksud:

من رأى منكم منكرا فليغيره...

“ Sesiapa di kalangan kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia merubahnya.....”

3. perkataan ‘daripada’ di dalam ayat adalah untuk menerangkan (tabyin), bukannya untuk menunjukkan sebahagian (tab’idh).

Sementara itu, ibnu kathir pula menukilkan huraian bagi ayat 104 surah ali imran tersebut iaitu: “perlu ada satu pasukan daripada umat ini yang menangani perkara ini, sekalipun perkara ini wajib ke atas setiap individu umat.”


Kekeliruan 2: kesilapan dalam memahami erti fardhu kifayah.

Ramai yang salah faham dengan tanggapan bahawa apabila dakwah dilakukan oleh sebahagian islam kewajipannya gugur daripada sebahagian yang lain. Lantas mereka memilih untuk bersama yang membisukan diri dan berpeluk tubuh sahaja. Sedangkan perkara ini bukan seperti mana yang mereka faham.


Jawapan:

Memang benar maksud suruhan berbentuk fardhu kifayah ialah apabila ia dilakukan oleh sebahagian orang islam, kewajipannya gugur daripada sebahagian yang lain. Namun, dengan syarat perkara fardhu kifayah tersebut telah tercapai dan dilaksanakan oleh sebahagian tersebut. Apabila perkara mungkar terhapus dengan kerja dakwah yang dilakukan sebahagian islam, maka barulah gugur kewajipan tersebut daripada sebahagian islam yang lain. Tetapi apabila perkara mungkar tersebut masih tidak terhapus maka kewajipan tersebut masih dipikul oleh setiap orang.

Ayat 104 surah ali imran yang telah dikupas juga membawa pengertian: “semua orang islam hendaklah menyediakan umat ini”, maksudnya kumpulan yang bertanggungjawab menangani tugas dakwah kepada Allah.

Semua orang juga mestilah membantu kumpulan tersebut dengan segala cara agar pelaksanaan tugas menegakkan agama Allah dan menyebarkan dakwahNya tercapai. Sekiranya orang islam tidak melakukan tuntutan ini maka setiap orang tidak kira yang layak berdakwah mahupun yang tidak tetap akan berdosa.


Kekeliruan 3: dakwah khusus untuk ulama.

Terdapat juga yang beranggapan bahawa tugas dakwah adalah khusus untuk para ulama sahaja kerana ilmu merupakan salah satu daripada syarat-syarat yang disebut oleh ulama fiqh bagi orang yang menyuruh makruf dan mencegah munkar.

Jawapan:

Ya, memang tiada keraguan lagi bahawa disyaratkan untuk memiliki ilmu dalam melakukan dakwah; dakwah kepada kebaikan, dan yang paling tinggi dakwah kepada Allah. Tetapi ilmu bukanlah satu perkara yang tidak boleh dibahagi-bahagi, bahkan sifatnya sendiri boleh dijuzuk dan dibahagi-bahagikan.

Dengan erti kata lain, seseorang yang mengetahui tentang satu perkara dan jahil tentang satu perkara yang lain adalah orang yang alim tentang perkara yang diketahuinya dan jahil tentang perkara yang kedua. Dia memenuhi syarat wajib dakwah terhadap perkara pertama yang diketahuinya itu, tanpa melibatkan perkara kedua yang dia jahil. Tiada perselisihan ulama fiqh, seseorang yang jahil tentang sesuatu perkara atau hukumnya, dia tidak berdakwah untuk perkara itu kerana mengetahui kesahihan tentang perkara yang didakwahnya adalah syarat sah dakwah.

Oleh itu setiap orang islam wajib berdakwah mengikut kadar yang diketahuinya, samada dia orang awam, tokoh agama, tokoh akademik, pelajar, pekerja, tua muda, atau sebagainya.


Kekeliruan 4: dakwaan kebatilan berleluasa di bumi dan dakwah kepada Allah tidak membawa sebarang faedah pun. Oleh itu, seorang islam perlu menitikberatkan dirinya sendiri dan meninggalkan urusan manusia lain.

Jawapan:

Kewajipan seorang islam ialah melaksanakan dakwah, tidak kira hasilnya tercapai dengan manusia menyahutnya atau tidak. Yang wajibnya ialah melaksanakan usaha dakwah tersebut, hasilnya adalah di atas urusan Allah kerana hidayah adalah milikNya.


Kekeliruan 5: kefahaman yang salah terhadap ayat 286 surah al-Baqarah yang bermaksud:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..”

Sesetengah orang memberi alasan kerja dakwah adalah susah dan memenatkan.


Jawapan:

Hakikatnya, kepenatan yang didakwa adalah sedikit sahaja dan mudah. Tidakkah kita malu melihat tokoh-tokoh agama lain yang sanggup bersusah payah menghabiskan masa bertahun-tahun tempat pedalaman di mana manusia tidak mengetahui tuhan mahupun agama? Bukankah sepatutnya kita orang islam yang menanggung tugas menyebarkan dakwah kepada Allah di kalangan penganut animisme itu?

Sepatutnya kita ingat firman Allah dalam surah an-nisa ayat 104:

إن تكون تألمون فإنهم يألمون كما تألمون وترجون من الله ما لا يرجون

“kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita dan sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak)..”


Sesungguhnya rasulullah dan para sahabatnya lebih banyak menanggung kesulitan dan kepayahan semasa penyebaran dakwah di era permulaan dan berjihad di jalanNya. Adakah kita layak untuk merungut dengan tanggungan yang memenatkan diri sedikit sahaja, sedangkan dakwah kepada Allah, menyebarkan kebaikan islam, dan mengajar manusia akhlak mulia adalah suatu yang amat besar dan mulia? Mengapa tidak memandang usaha sedikit yang dicurahkan tersebut banyak di sisi Allah? Para sahabat dahulu keluar berjihad serta merta dengan “kami dengar dan kami patuh kepada Allah dan rasulNya.”


p/s: tiada lagi kekeliruan dan alasan... wajib!


Ku Merindui Diri Mu..

Written on 1:31 AM by WhoSign

Ku merindui diri mu,
Yang pabila tibanya isnin dan khamis,
Kau didik diri mu sebaik habis,
Pandangan mu kau tundukkan,
Tutur kata mu kau peliharakan,
Kerna di kala subuhnya kau telah bangun bersahur,
Puasa sunat kau laksanakan dengan penuh luhur.

Ku merindui diri mu,
Yang pabila azan berkumandang,
Ke surau dan masjid bergegas kau bertandang,
Atau setidaknya kau mendirikan jemaah,
Dengan khusyu' dan tidak berlengah,
Kala itu yang fadhu kau perbaikkan,
Kemudian yang sunat kau perbanyak amalkan.
Ku merindui diri mu,
Yang selalu mengalunkan bait al-Quran,
Baik secara bacaan mahupun secara hafazan,
Dengan istiqamah dan faham,
Kerap kali 30 juzuk kau khatam,
Bersama mashaf agung sentiasa di sisi,
Setiap kalimahnya menjadi saksi.
Ku merindui diri mu,
Yang mengamalkan tahajud,
Qiam malam kepada Nya kau sujud,
Doa mu sungguh penuh syahdu,
Buat diri, keluarga, umat, dan agama,
Sedangkan manusia lain sedang beradu,
Kau pula beribadat di separuh malamnya.
Tapi,
Walaupun aku yang kini merindui mu,
Seperti mana aku yang dahulu bersamamu,
Namun,
Aku kan terpaksa terus meninggalkan mu,
Kerna aku yang nanti tidak dapat menunggu mu.
Maka,
Kenanglah aku -masa dahulu- yang terus berlalu,
Manfaatkan aku -masa kini- yang sentiasa mengiringi,
Dan kejarlah aku -masa hadapan- yang tiada batasan.


Syukuri Nikmat Allah, Jangan Sampai Diistidrajkan!

Written on 1:53 AM by WhoSign





Apakah dia istidraj itu?

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.

Rasullulah s. a.w. bersabda :

"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT."


(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.

Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam. Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah.

Bila kita tanya, apa kamu takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai.

Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadatpun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s. a. w bersabda: .

"Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya"

(Kitab Nasaibul æIbad)
.
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap,
anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat (sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang/mewah.

Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj.


Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan.

Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya.

Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Wallahualam.


p/s: takut! takut tak sedar diistidrajkan!!! ya Allah.. aku berlindung dengan Mu daripada diistidrajkan ya Allah....



Daisypath Anniversary tickers