Kerja Dakwah Seperti Menolak Bola Besar Menaiki Bukit
Written on 11:58 PM by WhoSign
Kerja dakwah perlu istiqamah. Di sini ingin saya bawakan satu analogi, kerja dakwah seperti menolak bola besar menaiki bukit.
Bayangkan kita sedang menolak sebuah bola yang besar dan berat menaiki bukit (di jalan raya). Pastinya Ia merupakan suatu usaha yang tidak mudah dan memerlukan daya usaha yang teguh dan tinggi serta keazaman yang kuat dan terus menerus. Bagi memastikan kita dan bola tersebut sampai ke puncak bukit bukanlah satu kerja senang dan cepat. Kita perlu banyak bersabar menolaknya sedikit demi sedikit, rehat sambil menahannya, kemudian sambung menolak semula. Sekiranya kita berhenti menahan dan melepaskannya, maka bergoleklah ia jatuh meninggalkan kita.
Usaha dakwah bukan kerja yang mudah malah memerlukan daya usaha yang teguh dan tinggi serta keazaman yang kuat dan terus menerus memandangkan sasarannya adalah manusia –bermacam ragam, pelupa, dipengaruhi nafsu, dihasut bisikan syaitan, dll. Kerja dakwah sebenarnya tiada penghujungnya, Cuma kemuncaknya hanya apabila orang menerima dan mengamalkan islam sepertimana yang dikehendaki Allah dan hanya apabila tibanya hari kiamat. Maka, bagi sepanjang perjalanan itulah penggerak-penggerak dakwah harus sabar dengan ujian dan dugaan yang ditempuh, istiqamah berterusan menjalankannya walaupun sedikit demi sedikit, rehat dengan erti kata mengatur strategi dan mengumpul kekuatan (itupun bukan rehat sebenarnya), kemudian meneruskan perjuangan bersama-sama hingga ke akhirnya. Samada hingga ke akhir jayanya atau hingga ke akhir hayatnya..
So, bila lagi nak menolak bola naik bukit? wallahu a’lam.