Search This Blog

Cerita Tiga Beradik - Helaian Berlubang

Written on 8:53 AM by WhoSign



Pada suatu pagi yang nyaman..

“Kat sini rupanya anak-anak Abah. Ingatkan tak bangun tidur lagi masing-masing. Along, Angah, dan Adik tengah buat apa tu?” Sapa Abah memecah kesunyian. Biasanya pagi-pagi sebegitu riuh rendah rumah dengan suara Si Tiga Beradik.

“Angah tengah melukis ni Abah. Abah, Abah, cuba tengok ni, cantik tak Angah lukis?” jawab Si Angah menarik perhatian Abah. Dari tadi entah apa yang dilukisnya, khusyu’ sungguh gayanya. Si Tiga Beradik berkerumun dekat Abah.

“Uish.. anak Abah lukis, mestilah cantik. Ni gambar awan hujankan?” puji Abah pada Angah sambil melihat lukisan yang dilukis Si Angah.

“Ala.. Itu pokoklah. Bukan awan. Tak cantiklah tu Angah lukis..” Rajuk Si Angah, diambil semula lukisannya daripada Abah sambil mencebik bibir.

“Abah tahu. Saja je.” Abah mengusap kepala Si Angah. “Along buat kerja sekolah ke tu?” Tanya Abah pada Si Along pula.

“Na’am ya Abi. Hazihi wajibat manzili li. Wa ana masyghulun ya Abi.” Jawab Si Along sambil meneruskan kerja sekolahnya. Si Along sendiri tersenyum simpul dengan jawapannya.

“Kerja sekolah Bahasa Arab la tu.” Abah pun tersenyum kecil. “Ha, Adik ni buat apa pulak kertas banyak-banyak ni?” tanya Si Abah pada Si Adik pula.

“Adik tu takde kerja, Abah. Buat sampah je kerjanya.” Tiba-tiba Si Along menyampuk mengusik Si Adik.

“Ai.. tadi kata masygulun sangat. Sempat pulak mengusik Adik.” Si Abah memerli Si Along. Si Along tersengih-sengih.

“Ala.. Adik takde kerja sekolah. Cikgu takde bagi pun. Nak melukis macam Angah tu, Adik tak reti.” Jawab Si Adik tidak mempedulikan usikan Si Along.

“Habis tu Adik buat apa tu?” tanya Abah lagi.

“Adik main lipat-lipat je kertas ni. Buat jet, kapal terbang, sampan, burung, katak.. lagi tak tau dah. heee” jawab Si Adik sambil menunjukkan ‘hasil kerja’nya.

“Oo.. kreatifnya Adik. Bagus-baguslah anak-anak Abah ni.” Puji Abah kepada Si Tiga Beradik.

“Ha.. Dengan kertas-kertas ni, Abah ada satu permainan. Nak main tak?” Abah mendapat idea untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak yang amat disayanginya.

“Nakkk!” sahut Si Tiga Beradik serentak.

“Okey.. mula-mula Along, Angah, Adik ambil sehelai kertas.” Abah memulakan permainannya.

“Okey dah.. lepas tu?” Si Adik tak sabar-sabar.

“Semua dah ada kertas kan.. sekarang, lipat kertas tu.” Abah memberikan arahan.

“Lipat dua ke Abah?”
“Macam ni?”
“Lipat macam mana, Abah?”

Si Tiga Beradik tertanya-tanya.

“Ala.. lipat je macam mana pun asalkan kertas tu berlipat.” Abah menerangkan ringkas. “Lepas ni tak boleh tanya lagi tau.” Abah menambah peraturan dalam permainan.

“okey dah.”
“dah.”
“lepas tu?”

Si Tiga Beradik ternanti-nanti.

“Lepas tu, pusingkan kertas tu.” Abah memberi arahan pendek.

“Ok.”
“Emm.”
“Dah. Pastu?”

Si Along pusingkan kertas mengikut pusingan jam. Si Angah pula pusingkan depan belakang. Manakala Si Adik pusingkan terbalik atas ke bawah. Si Tiga Beradik sepakat untuk tidak sama.

“Sekarang koyakkan penjuru atas kertas tu.” Abah meneruskan.

“Aaa.. okey..”
“Hmm.. ha..”
“Erm.. Yang ni lah..”

Si Along dan Si Angah mengoyak penjuru atas sebelah kanan kertas, Si Along koyak kecil, Si Angah koyak besar. Si Adik pula mengoyak penjuru atas sebelah kiri kertas.

“Hmm.. Bagus-bagus. Lepas ni, arahannya dua patah perkataan sahaja. Along, Angah, Adik buat lah macam mana pun.” Abah menerangkan ringkas sebelum memberi arahan.

“Okey.. sekarang, lipat dua.” Arah Abah ringkas.

“kejap.. hmm.. okey..”
“lipat sini.. lipat sini.. okey dah.”
“lipat dua eh.. hmm.. pastu?”

Si Along dan Si Adik melipat dua kertasnya, Si Along melipat separuh manakala Si Adik melipat di tengah-tengah. Si Angah pula melipat dua kali, kanan dan kiri.

“Dah lipat, lepas tu.. koyak bawah.” Abah meneruskan.

“Dah..”
“Jap.. okey..”
“Koyak sinilah..”

Si Along terus koyak sedikit bawah kertasnya. Si Angah pula koyak habis seluruh bahagian bawah kertas. Manakala Si Adik mengoyak penjuru bawah kertas setelah terfikir-fikir sebentar.

“Okey.. bagus.. sekarang dengar betul-betul.. Abah cakap sekali je..” Abah menyuruh Si Tiga Beradik bersedia menumpukan perhatian.

“Buka lipatan.. Lipat atas.. Lipat bawah.. Lipat tepi.. Koyak sikit..” Abah memberi arahan berturut-turut.

“Buka ni.. lipat sini.. lipat sini pulak.. lipat lagi.. pastu koyak..”
“Buka.. buka.. buka.. pastu lipat.. lipat.. lipat.. pastu koyak..”
“Buka.. lipat.. buka.. lipat.. err....”

Si Along dengan khusyuknya menurut arahan yang diberikan satu persatu. Si Angah juga seperti Si Along, hanya cuma caranya yang berbeza. Tinggal Si Adik tergaru-garu kepala dan tersengih-sengih.

“Baiklah.. sekarang cuba buka kertas masing-masing..” Abah menyuruh Si Tiga Beradik membuka lipatan kertas.

“Tengok.. Along punya lubang sikit je..” Si Along menunjukkan kertasnya.

“Haha.. Adik punya banyak lubang..” Si Angah menggelakkan Si Adik.

“Ala.. Angah punya kertas tu jadi lagi kecik..” Si Adik membalas.

Abah tersenyum kecil melihat telatah anak-anaknya.

“Along, Angah, Adik....” Abah mengalihkan perhatian Si Tiga Beradik kepadanya.

“Cuba tengok kertas masing-masing.. Semua ada lubang-lubangkan..” Abah memulakan bicaranya. Si Tiga Beradik melihat kertas masing-masing sambil mengangguk-angguk.

“Biarpun lubang tu kecil atau besar, banyak atau sedikit, di tengah atau di hujung, semua kertas tu ada lubang.. Samalah macam kita ni, manusia.....” Abah memberikan analogi.

“Apa yang samanya Abah? Tak faham lah..” Si Adik yang pertama sekali menyuarakan kebingungannya.

“Kita sebagai manusia, ada kelemahan masing-masing.. lubang-lubang ni gambaran kelemahan-kelemahan tersebut. Mungkin kita ada kelemahan pada suatu perkara yang bukan menjadi kelemahan orang lain, dan mungkin juga kelemahan orang lain tiada pada diri kita. Yang pastinya, kita tetap mempunyai kelemahan, sikit atau banyak, kritikal atau tidak, ia tetap suatu kelemahan...” Abah menerangkan panjang lebar. Abah mengambil nafas seketika.

“...Tapi.. cuba Along, Angah, dan Adik satukan kertas-kertas ni..” Abah mengambil kertas-kertas Si Tiga Beradik dan menyatukannya. “Cuba tengok.. ada nampak lubang lagi tak?” Abah menunjukkan kertas-kertas yang sudah dikumpulnya.

“Eh.. a’ah lah..”
“Tak nampak lubang pun, Abah.”

Si Along dan Si Angah mengiyakan. Si Adik hanya menggelengkan kepala.

Abah menyambung lagi...

“Abah nak anak-anak Abah jadi macam kertas yang dikumpulkan ni.. Biarpun Along, Angah, dan Adik ada kelemahan masing-masing.. Kalau Along, Angah, Adik sentiasa bersatu, saling lengkap-melengkapi, insyaAllah kekurangan-kekurangan yang ada dapat sama-sama diatasi dan dielakkan.”

“Begitu juga dalam masyarakat.. Kalau kita hidup sendiri-sendiri, pasti akan berlaku banyak kelemahan. Along, Angah, Adik, ingat.. Inilah kepentingan berjemaah.” Abah mengakhiri nasihatnya sambil mengusap kepala Si Tiga Beradik.


Cerita 5 Ekor Kucing, Seekor Ikan, Dan Air Simbah

Written on 9:18 PM by WhoSign


Dalam perjalanan menghantar isteri mengajar al-quran di putrajaya, sambil-sambil mendengar radio IKIM, tertarik dengan siaran ulangan motivasi pagi. Begini ceritanya..

Ahli saintis telah meletakkan dua ekor kucing ke dalam satu bekas kaca yang besar. Di hujung atas bekas tersebut diletak pula seekor ikan sebagai umpan kucing-kucing tadi. Kebiasaan bagi kucing, pantang nampak ikan, pasti nak diterkamnya. Ahli saintis pula telah merancang untuk menyimbah air apabila kucing cuba untuk mendapatkan ikan tersebut.

Kucing yang pertama, mula mencakar dinding kaca untuk melompat mendapatkan ikan. Melihat keadaan tersebut, ahli saintis pun menyimbah air ke atas kucing. Pada mulanya, kucing pertama tidak mengalah. Berkali-kali ia cuba memanjat untuk mendapatkan ikan di atas. Selepas lima enam kali cubaan, kucing pertama akhirnya mengalah, tunduk dan tidak cuba mendapatkan ikan lagi.

Kucing kedua juga sama seperti kucing pertama. Walaupun melihat keadaan kucing pertama disimbah air setiap kali cubaan, kucing kedua tetap cuba mendapatkan ikan itu. ahli saintis pun tetap menyimbah air setiap kali cubaan dan akhirnya selepas beberapa kali cubaan, kucing kedua juga mengalah.

Kemudian, ahli saintis memasukkan kucing ketiga ke dalam bekas tersebut. Kali ini, ahli saintis tidak merancang untuk menyimbah air jika kucing ketiga cuba untuk mendapatkan ikan.

Sudah namanya kucing, tak boleh nampak ikan. Kucing ketiga pun ingin cuba mendapatkan ikan tersebut. Tiba-tiba datang kucing pertama dan kedua ke arah kucing ketiga. Tidak semena-mena kucing ketiga mengalah tanpa mencuba untuk mendapatkan ikan.

Mungkin kucing pertama dan kedua telah berbisik kepada kucing ketiga, “jangan cuba dapatkan ikan tu, bahaya, tengok apa yang terjadi kepada kami, habis basah kuyup.”

Kali ini, ahli saintis memasukkan kucing keempat dan kelima serta masih tidak bercadang untuk menyimbah air jika berlaku cubaan mendapatkan ikan.

Kucing keempat nampak sahaja ikan terus ingin cuba mendapatkannya. Tiba-tiba datang kucing ketiga kepadanya, serta-merta kucing keempat pun tidak jadi meneruskan hasratnya. Barangkali dibiskkan juga perkara yang sama seperti apa yang dibisikkan kucing pertama dan kedua kepadanya.

Kucing kelima pula mengambil giliran mencuba mendapatkan ikan yang masih berada di atas dari tadi. Tidak dipedulikannya kucing pertama, kedua, ketiga, dan keempat. Melihat keadaan itu, seperti yang dirancang, ahli saintis tidak menyimbah air. Akhirnya, kucing kelima mendapat habuannya.

Lihatlah cerita di atas. Banyak perkara yang boleh kita ambil iktibar. Bayangkan ikan itu adalah impian kita, maka kucing yang mana yang ingin kita jadi?

Sesetengah orang, sudahlah mereka gagal, disebarkan pula kegagalan mereka dan menghasut orang lain supaya tidak mencuba. Sesetengah orang pula, terlalu percaya dengan kata-kata orang lain sehingga tiada keyakinan diri dan langsung tidak mencuba. Dan ada sesetengah orang, mereka mempunyai keyakinan diri, tidak mudah percaya kata-kata orang sehingga mereka sendiri mencubanya.

Naik, Naik, Dan Naik Lagi..

Written on 4:59 PM by WhoSign


“harga minyak RON 97 naik lagi 10 sen”

Tajuk berita yang pastinya buat masyarakat Malaysia berasa amat tidak puas hati. Baru bulan lepas naik, awal tahun ni naik lagi. Sudah tu, dulu sebelum kenaikan lagi akan diberitahu, kini dah naik baru umumkan. Untuk mengelak bantahan atau demonstrasi mungkin.

Rentetan itu, harga barang pula naik. Semakin naik harga bahan mentah, semakin naik harga barang jualan. Sudah menjadi satu hipotesis yang pasti kesimpulannya. Jika diperpanjangkan hipotesis itu, maka akan jadi seperti berikut. Semakin naik harga bahan mentah, semakin naik harga barang jualan. Semakin naik harga barang jualan, semakin pening kepala golongan pendapatan sederhana dan semakin gugur rambut golongan pendapatan rendah dan miskin. Tetapi bagi golongan pendapatan tinggi mungkin hanya gatal-gatal kepala bak ada kelemumur sahaja. Itupun kalau ada rasa gatal-gatal, saya tidak tahu kerana saya bukan tergolong dari yang berpendapatan tinggi.

Definisi kerajaan bagi negara maju ialah rakyatnya berpendapatan tinggi. Apakan daya. Akhirnya, budaya masyarakat Malaysia kerja untuk mengejar naik pangkat dan naik gaji. Kerja biar semberono, asalkan dapat naik pangkat dan gaji. Naik tangga dan lepaskan batok begitu sahaja dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Ah. Tiada maknanya amanah. Cuba tanya apa itu amanah? Mungkin Amanah Saham Berhad sahaja yang bermain di fikiran masing-masing.

Banyak lagi perkara dalam kehidupan seharian kita yang ada kita ingin ia naik dan ada yang kita tak ingin ia naik. Suka atau tidak kadang-kadang perkara-perkara tersebut tetap naik atau tak naik-naik.

Tapi janganlah sampai kita lupa, ada juga perkara yang kita kena naikkan, kena tingkatkan. Jika kita boleh bekerja keras kerana inginkan gaji dan pangkat kita naik, mengapa kita tiada keinginan dan usaha untuk perbaiki amalan-amalan ibadah kita agar pahala dan ganjaran yang kita kumpul naik beratnya dalam neraca timbangan Allah? Jika kita tak berkuasa menghalang harga minyak naik, mengapa kita tak boleh menjauhi perkara-perkara mungkar dan maksiat yang kita ada kuasa agar dosa kita tak naik? Tak begitu?

Dan akhirnya, janganlah sekali-kali kita lupa tugas kita untuk menaikkan syariat Islam!


Hargai Apa Yang Dimiliki

Written on 8:49 AM by WhoSign

.

Humm.. Sejak laptop sendiri rosak ni, susah betul nak online. Terpaksa bergilir-gilir guna laptop zaujah. Kat apartment pun belum ada internet lagi. So, buat masa ni tak dapat nak online selalu. Baru la nak terasa betapa bernilainya internet tu. Masa tak ada internet ni la nak buat itu, nak buat ini. Nak search itu, nak search ini. Nak post itu, nak post ini. Ha.. ni nak post baru la ni..

Orang kata, kita selalu tak menghargai apa yang sedang kita miliki, betul ker? Kita selalu tak perasan apa yang kita miliki tu bukan selamanya milik kita. Nyawa kita, tubuh badan kita, barang-barang kita, sekeliling dan sekitar kita, semuanya bukan hak milik kekal kita. Pinjaman semata-mata. Tiba masanya akan diambil semula. Tiba masanya kita kena pulangkan. Tiba masanya benda-benda ni tak akan menjadi milik kita lagi.

Tapi kita selalu lupa untuk menghargai semua tu. Seperti kata seorang pensyarah ni, macam pegang burung. Cuba bayangkan kita dapat tangkap seekor burung. Lepas main-main dengan burung tu, lama-lama kita jadi boring. Pastu kita lepaskan. Bila burung tu dah terbang, barulah kita terfikir nak tengok kaki burung tu macam mana, matanya warna apa, ekornya macam mana. Bila kita dah lepaskan burung tu barulah kita terfikir nak buat itu ini sedangkan masa kita pegang burung tu kita tak buat apa-apa pun.

So, selagi umur kita ni masih ada, manfaatkanlah. Selagi apa yang kita miliki masih dalam genggaman kita, hargailah.. Sudah terlepas, melepas.

Wallahu a’lam


Try Walking To Your Destination

Written on 2:27 PM by WhoSign


Dari pagi sampai ke malam, cuba kita lihat diri kita.. berapa banyak kita berjalan kaki?? kita berjalan kaki untuk jarak yang dekat-dekat dan di tempat-tempat yang tidak boleh dilalui kenderaan sahaja.. contohnya ketika di dalam rumah dan di tempat belajar atau bekerja. itupun, lebih kurang sama macam menggerakkan kaki sahaja, tidak dikira berjalan kaki..

Pernahkah anda cuba menjalankan diri anda? maksud saya, anda berjalan dari satu tempat ke satu tempat yang lain yang agak jauh. seperti berjalan ke tempat kerja atau kelas, berjalan-jalan di tepi pantai dan sebagainya? satu yang saya pasti, anda selalu berjalan-jalan di shopping kompleks. tak mengapa, itu pun dikira berjalan. Cuma, tak sama dengan apa yang ingin saya maksudkan..

baiklah.. cuba sebentar lagi atau esok atau bila-bila anda berjalan ke kelas, ke masjid, ke pejabat, ke padang, berjalan di tepi tasik, atau di mana-mana asalkan anda berjalan kaki.. dan hayati masa-masa tersebut.. apakah yang anda terfikir dengan berjalan-jalan kaki yang saya katakan dari tadi? exercise? senaman? betul.. tapi..

sebenarnya, ketika anda berjalan kaki, otak anda sedang berkerja dan fikiran anda sedang berputar-putar.. apakah kalau naik kereta atau naik motor tidak seperti itu? sama, tapi bezanya sekiranya anda naik kenderaan, anda akan fokus pada pengendalian kenderaan serta keadaan sekeliling. anda akan sentiasa berawas. justeru fokus anda kurang pada perkara-perkara lain. Tetapi, ketika berjalan kaki, anda tidak perlu untuk fokus pada setiap langkah anda. jadi fikiran anda berpeluang untuk memikirkan perkara-perkara lain. tambahan pula anda mempunyai banyak masa dengan berjalan kaki tersebut..

sesetengah orang mungkin tidak sempat untuk bermuhasabah sebelum tidur, sedar-sedar je dah terbangun dari tidur.. justeru, semasa berjalan kaki inilah anda dapat manfaatkan untuk memikirkan perkara-perkara seperti ini.. muhasabah, plan tindakan anda, refleksi. malah dengan berjalan kaki ini pun insyaAllah dapat mendekatkan diri anda kepada Yang Mencipta kaki tersebut.

percayalah, ketika anda berjalan kaki, fikiran anda tidak akan kosong. pasti ada yang akan anda fikirkan. moga-moga anda dapat manfaat daripada apa yang anda fikirkan ketika itu.. saya tahu kita tidak punya banyak masa lapang.. kita hanya ada 24 jam itu sahaja.. tapi sekiranya anda ingin merasai nikmat berjalan itu, boleh amalkan berjalan kaki ke masjid dan pulang daripada masjid.. cubalah!!

Jangan Lupa Matlamat

Written on 2:23 AM by WhoSign


Matlamat dan niat walaupun merupakan dua perkara berbeza namun amat berkait rapat antara satu sama lain dan setiap daripada kita pastinya ada matlamat yang ingin dicapai. Sentiasa ingat matlamat mampu untuk membangkitkan kekuatan dalaman diri seseorang.

Entry kali ni ilham daripada seorang hamba Allah yang baru mula meminati kaktus sejak balik daripada Cameron Highland.

Mengapa hamba Allah ini mula tertarik dengan kaktus-kaktus tersebut? Katanya, beliau memang berminat kepada perkara-perkara yang berbentuk seperti raise (peliharaan). Tambahan pula memandangkan kaktus dikatakan tidak susah untuk dijaga.

Katanya lagi, matlamat utama penjagaan kaktus ini diharapkan dapat menenangkan fikirannya di samping melatih dirinya menjaga hati dan perasaan orang lain.

Namun, takdir Allah menetapkan beberapa kaktus dalam jagaannya tidak hidup lama. Mungkin kerana kurangnya ilmu dan pengalaman menjadi punca kepada kematian kaktus tersebut. Mengenangkan kaktus yang beransur-ansur mati dan mereput di depan matanya dari hari ke hari, hamba Allah itu dirundung kesedihan. Namun, beliau sedaya upaya mengetepikan kesedihan tersebut untuk terus mengharungi kehidupan seperti biasa.

Akhirnya, dalam refleksi hamba Allah tersebut, maka teringat lah akan beliau matlamat asalnya dalam penjagaan kaktus iaitu diharapkan dapat menenangkan fikirannya. Katanya kepada kaktus tersebut, “kematian mu tidak akan tersia-sia. Matlamat aku adalah supaya dapat menenangkan fikiran, justeru aku tidak boleh bersedihan atas kematian mu kerana sesungguhnya makhluk yang hidup pasti kan mati. Biar hidup atau mati, matlamat ku adalah untuk menenangkan fikiran dan aku masih ada kaktus-kaktus yang lain yang perlu aku jaga dan ambil pengajaran.”


Jangan Lupa Matlamat Sebagai Penuntut

Matlamat seorang pelajar untuk belajar. Matlamat seorang penuntut untuk menuntut ilmu. Matlamatnya lagi adalah untuk melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran dan sebagainya. Matlamat-matlamat ini hanya akan dicapai dengan melalui lumrah seorang penuntut/pelajar. Justeru, seorang penuntut/pelajar itu tidak seharusnya merungut, mengeluh, berputus asa, dan sebagainya apabila diberikan sesuatu tugasan atau amanah samada sikit atau banyak kerana itulah lumrahnya.

Jangan Lupa Matlamat Sebagai Da’i

Wahai da’i, wahai para pendakwah, apakah matlamat kalian? Pastinya bukan mengejar nama, bukan untuk glamour, dan bukan juga sekadar mengisi masa. Kerja dakwah yang menanti kalian ada sunnah dan ketetapannya. Ianya bukan disambut dengan bunga dan sorakan, bukan dengan karpet merah bagai artis pujaan. Tapi yang menanti adalah mehnah dan tribulasi, pelbagai dugaan, onak, dan duri.

Ingatlah matlamat kalian, insyaAllah akan muncul sinar kekuatan.

Jangan Lupa Matlamat Sebagai Hamba Allah

Matlamat tertinggi seorang hamba Allah adalah untuk mencapai mardhotillah (keredhaan Allah). keredhaan Allah itulah segalanya, yang paling tinggi, yang paling besar, yang paling luas, yang tidak terbanding. Sematkan matlamat itu dalam menuntun perkara-perkara kebaikan dan jadikan ia kekuatan untuk menewaskan hasutan syaitan serta pujukan nafsu.


“Anda Ingat Matlamat Anda, Anda Mampu Mencapainya”



5 Mim Ke Arah Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam

Written on 2:10 AM by WhoSign













“Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam”


Seseorang muslim yang cemerlang sentiasa berusaha ke arah menjadikan hari-harinya lebih baik daripada hari-hari yang sebelumnya. Namun, dugaan dan cabaran telah sedia menanti dan bukan mudah bagi mereka untuk menjadi orang-orang yang beruntung. Hanya mereka yang berusaha yang akan mengecap kemanisan ‘hari ini lebih baik daripada semalam’.

5 mim proses ke arah hari ini lebih baik daripada semalam:

معاهدة (mu’ahadah)

Mu’ahadah bermaksud perjanjian. Setiap muslim mestilah ingat, sedar, dan menghayati bait-bait perjanjian yang dilafazkan tiap-tiap hari dalam solat mereka. Perjanjian ini mengikat diri mereka dengan Allah.

إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العلمين

Sesungguhnya solat mereka, ibadat mereka, hidup mereka, dan mati mereka adalah kerana Allah, Tuhan Yang Mentadbir sekalian alam.

Justeru, kesedaran dan penghayatan yang timbul inilah yang akan menjadi pemandu dan penuntun kehidupan seharian mereka daripada terpesong ke arah lembah kesesatan.

مراقبة (muraqabah)

Muraqabah dalam bahasa modennya ialah CCTV iaitu merasakan diri sentiasa diawasi, diperhati, dan direkod. Manakan tidak, setiap gerak dan tingkah laku muslim itu sentiasa dicatat oleh malaikat yang ditugaskan untuk mencatatkan amalan mereka.

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إلا لَدَيْهِ رَقِيْبٌ عَتِيْد

Tiada satu ucapan pun yg diucapkannya melainkan adanya malaikat roqib dan atid yang mengawasinya dan mencatatnya. (surah Qaf : ayat 18)

Justeru, dengan perasaan muraqabah ini menjadikan muslim itu sentiasa berwaspada dengan setiap perbuatan dan tingkah lakunya. Kewaspadaannya bagaikan seseorang yang berjalan di atas jalan yang penuh duri. Begitu berhati-hati dan takut sekali sekiranya tersilap langkah.

محسابة (muhasabah)

Muhasabah bermaksud refleksi diri iaitu memeriksa dan membuat penilaian terhadap perkara-perkara yang telah dilakukan. Sedangkan nabi sendiri telah menyatakan bahawa manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Cuma sejauh mana kesilapan itu dikoreksi, dijauhi, dan tidak diulang lagi.

Saidina Omar berpesan:

حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسِبُوا

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan

Selagi mana muslim itu masih hidup, kesilapan-kesilapan yang dilakukan masih boleh diperbetulkan sekiranya muslim itu menghisab (memeriksa) dirinya dari masa ke masa. Tetapi, kesilapan-kesilapan yang dihisab di akhirat nanti tiada lagi perbetulan melainkan penyesalan kerana mahkamah akhirat bukan untuk menukar betul salah tetapi untuk menunjukkan yang betul atau salah.

Justeru, dengan muhasabah seseorang muslim itu dapat menilai, memeriksa, dan menganalisis baik buruk yang telah dilakukan sepanjang hari lalu merancang dan memperbaikinya untuk kehidupan hari esok.


معاقبة (mu’aqabah)

Mu’aqabah bererti denda iaitu hukuman kepada diri sendiri atas kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan. Mu’aqabah merupakan rentetan daripada muhasabah. Manakan mungkin muslim itu dapat mengesan kesilapan-kesilapan yang dilakukan tanpa muhasabah.

Denda merupakan peneguhan berbentuk negatif bagi mendapatkan tingkah laku atau perbuatan yang diinginkan. Begitulah tafsirannya sekiranya mengikut kaedah pedagogi.

Namun, denda dalam konteks ini yang dimaksudkan ialah seperti contoh sekiranya seseorang muslim itu tertinggal untuk membaca al-Quran pada hari ini, maka esoknya perlu dibaca dua kali ganda. Dengan erti kata lain, denda dengan perkara-perkara kebaikan.

Justeru, mu’aqabah membentuk disiplin diri muslim dan dapat meningkatkan amalan-amalan kebaikan serta menjauhi perkara-perkara keburukan.

مجاهدة (mujahadah)

Mujahadah pula bererti bersungguh-sungguh. Perubahan yang bermakna pastinya tidak mudah dan memerlukan kesungguhan, kekuatan, kesabaran, dan keistiqamahan. Sekiranya kebaikan yang dikejar, dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh, insyaAllah itulah yang akan diperoleh.

وَالَّذِيْنَ جَاهَدُوا فِيْنَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami.

Justeru, mujahadah, kesinambungan daripada mim-mim yang sebelumnya, memastikan setiap tindakan yang perlu dilakukan terlaksana. Kejujuran muslim itu, keikhlasannya serta kemahuannya yang kuat akan mendorong lagi dirinya ke arah menjadikan hari ini lebih baik semalam.


Daisypath Anniversary tickers