Abang Bagi Duit Dulu La, Nanti Saya Sembahyang..
Written on 1:12 AM by WhoSign
Sudah seminggu berlalu, tapi ku masih ingat lagi bait-bait kalimah tersebut.
Hari jumaat, malam. Di sebuah masjid yang tersergam indah di Melaka. Tatkala jemaah sedang menunaikan solat isya, aku hanya menunggu di suatu sudut di belakang masjid. Isya hari tu aku telah jama’kan sekali dengan maghribnya. Justeru, aku hanya duduk menunggu abangku selesai solat isya dengan jemaah-jemaah yang lain.
Nun jauh dari belakang, ku lihat dari kiri ke kanan, serentak turun naik ruku’ sujud setiap ahli jemaah. Tatkala mata ku tiba di penghujung jemaah, berdekatan dengan pintu, ku terlihat seorang kanak-kanak sedang duduk bermain di muka pintu. Ku perhatikan lama. Dan tatkala mata ku dan matanya bertembung, terus ku memanggilnya ke sisi ku dengan isyarat. Ku menepuk-nepuk karpet di tepi ku mengajaknya duduk bersama.
Terkedek-kedek budak lelaki itu berlari ke arah ku. Ah.. ku rasa bersalah kerana menyebabkan budak itu berlari di dalam masjid. Ku bagi salam padanya sejurus dia sampai kepadaku dan ku tanyakan namanya seperti biasa. Malangnya ku tidak ingat namanya kini kerana ku tidak beri tumpuan pada apa yang diberitahunya dek kerana ku lihat dia asyik tersenyum sahaja.
“datang dengan sapa?” tanyaku padanya.
“kakak.” Jawabnya sambil masih menyeringai dengan giginya yang tak ada.
Terlintas di fikiranku seorang muslimah yang bertudung labuh tatkala mendengar jawapan tersebut. Mungkin semenjak dari tadi lagi dia melihat ke arah adiknya ini dari sebalik pintu kaca gelap itu. Ku menjadi segan. Belum segan ku berpanjangan, tiba-tiba dua orang kanak-kanak dari pintu kaca gelap tadi berlari ke arah ku. Yang seorang masih kecil lagi, mungkin adik kepada budak lelaki tadi, dan yang seorang lagi ku rasakan mungkin abangnya.
Si Abang tadi terus duduk di sebelah adiknya. Ku hulurkan tangan kepadanya. Di sambut ramah dan dicium sambil senyuman sentiasa terukir di bibirnya. Dan seperti biasa..
“siapa nama?” ku mulakan bicara.
“Hajar.” Jawabnya ringkas.
Erk.. ku terkejut dan kehairanan. Inginku pastikan “perempuan ke ni?”, tapi tidak kesampaian. Ku takut mengguris hatinya.
“oo.. kakak ni la.” Balas ku cepat-cepat.
Sekiranya tidak disebutkan namanya tadi, pasti selamanya ku anggap Si Kakak itu lelaki dan abang kepada dua adik-adiknya yang lain. Si Hajar ni, dengan rambutnya yang pendek, berseluar pendek paras peha, memang macam budak lelaki. Muka je nampak keperempuanan. Boleh la kata jambu. Baru darjah dua.
“datang dengan sapa ni?” ku ajukan pada ketiga-tiganya.
“saja jalan-jalan. Rumah dekat je dengan masjid ni. Belakang tu je.” Jawab Hajar.
Sejurus kemudian, mereka pun berlalu, berlari semula keluar melalui pintu kaca gelap tadi.
Ku terkedu sebentar sendirian...
Jemaah baru sahaja selesai solat dan sedang berwirid. Ku lihat abangku masih lagi belum berganjak dari tempatnya. Pantas ku keluar dari pintu utama dan mencari kanak-kanak tadi.
Alhamdulillah. Mereka masih belum balik. Ku sambung perbualan tadi di rak-rak kasut di luar masjid. Sebungkus makanan yang dibawa mereka diletakkan di atas rak di situ.
Hajar : Saja jalan-jalan.
Aku : Datang dengan sapa? (ku ulangi soalan ku tadi)
Hajar : Dengan atuk.
Aku : oo.. dengan atuk.. tak solat sekali ker dengan atuk?
Hajar : ala.. nanti la.. sembahyang kat rumah pun boleh.
Aku : tinggal dengan sapa kat rumah? (saja ku cuba cungkil latar belakang mereka).
Hajar : dengan mak, atuk.
Aku : ayah mana? Kerja apa?
Adik : ayah duduk jauh. Tak balik-balik.
Hajar : ayah kat KL.
Aku : oo..
Seperti yang ku andai kan, budak-budak ni mesti kurang dapat perhatian ibu bapa.
Aku : erm.. gi la solat dulu sementara tunggu atuk tu.
Hajar : tak nak.. Erm.. bang, nak duit raya, bang. (tiba-tiba je mintak duit raya)
Aku : eh, mana boleh tak nak sembahyang.
Hajar : ala.. abang bagi la duit dulu, nanti saya sembahyang la.
Aku : abih, kalau abang tak bagi, kamu tak sembahnyang la? (aduh parah camni..)
nak buat apa dengan duit ni?
Hajar : nak buat beli barang sekolah.
Adik : a’a.. nak buat beli makanan sekali.
Aku : ha.. sapa yang bagi makanan ni?
Adik : Allah.
Aku : dah tu. kalau kita tak sembahyang macam mana Allah nak bagi. Sapa yang bagi kita duit? Sapa yang bagi kita rezeki?
Hajar : Tuhan. (pantas jawab)
Aku : ha.. tahu pun.. Allah yang bagi kita rezeki, macam mana kita bersyukur pada Allah? Kalau orang bagi apa-apa kat kita, kita ucap terima kasih. Macam mana kita nak ucap terima kasih pada Allah? Kita sembahyang la.
Hajar : ye la. Nanti saya sembahyang la, abang bagi la duit raya, bang.
Aku : abih.. lepas-lepas ni kalau abang takde, kamu sembahyang tak?
Hajar : (tersenyap).. (mengangguk)
Aku : janji?
Hajar : (mengangguk)
Aku : ha.. lepas-lepas ni abang takde, tapi Allah nampak tau. Sembahyang tau!
Ku lihat abangku sudah menunggu di dalam kereta. Terpaksa ku tamatkan perbualan ku di situ. Ku hulurkan sejumlah kecil wang kepada mereka dengan harapan dapat membantu menyedarkan mereka walaupun ku tahu harapan itu hanya mungkin tinggal harapan. Sekurang-kurangnya mungkin dapat digunakan untuk membeli makanan atau barang sekolah, itu pun sekiranya aku tidak ditipu. Dan harapan itu ku serahkan bulat-bulat hanya padaNya.
“ya Allah, pada Engkau sahajalah ku berharap. Berilah hidayah kepada mereka.”
Salah kanak-kanak inikah mereka menjadi sebegitu?
Pertolongan seseorang individu itu terbatas sendirian. Gejala yang menular dalam kalangan anak-anak takkan mampu di tanggung hanya satu pihak sahaja. Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting. Sehingga enam tahun pertama dan seterusnya, berilah perhatian yang sepenuhnya kepada mereka. Didiklah dan penuhilah dada mereka dengan didikan agama. Guru-guru di sekolah hanya dapat membantu setelah mereka beranjak usia sedari enam tahun. Itupun berhadapan dengan cabaran daripada rakan sebaya anak-anak itu sendiri.
Ingatlah, sayyid qutb pernah menulis ketika beliau di penjara sewaktu beliau melihat bangsa ini kembali tidak bertamadun:
Sekiranya keluarga adalah asas kepada sebuah masyarakat, dan keluarga itu baik, maka insyaAllah baiklah masyarakat tersebut.
Kepada mereka yang seusia dengan ku, sebelia, seremaja, dan yang dibawahnya, ingatlah, suatu hari nanti anda akan berkeluarga, sahutlah kata-kata sayyid qutb di atas, dan persediannya haruslah anda mulakan dari sekarang.
Wallahu a’lam
kanak2 ibarat kain putih..ibu bapa lah yg mewarnai nya..sayang,ramai ibu bapa yg m'abaikn anak2..sama2 kita mengoreksi diri..