Search This Blog

Bayangkan Pokok Yang Tidak Berbuah dan Kerja Yang Tidak Bergaji

Written on 8:24 AM by WhoSign


Cuba kita bayangkan.....

Kita nak tanam pokok mangga. Dengan harapan nanti pokok mangga tu berbuah lebat dan buahnya sedap dimakan sehingga menjilat jari. Kita pun susah payah cari benih buah mangga yang besar dan manis. Kita tanya kawan-kawan dan cari di kedai-kedai. Adakala kita beli dan rasa setiap buah mangga yang ada dijual di pasar malam. Apabila kita dah jumpa yang sesuai, kita pun tanam. Dengan penjagaan yang baik, kita siramkan, kita bajakan, kita cabut rumput-rumput dekat tepi-tepi anak pokok tu. Bajanya pulak bukan baja-baja murahan, tapi yang betul-betul berkualiti. Apabila dah besar sikit pokok tu, kita cantas ranting dan dahannya bagi pokok tu merimbun. Susah payah kita daripada mula tanam benihnya sampailah pokok tu dah besar.

Minggu demi minggu, bulan demi bulan, dan tahun demi tahun kita usahakan supaya pokok mangga tu berbuah, tetapi malangnya hasilnya tiada.

Apakah perasaan kita setelah penat lelah kita berusaha susah payah jerih perih kita harungi, tetapi akhirnya pokok mangga tersebut langsung tidak mengeluarkan hasilnya..

Hampa? Sedih? Kecewa? Menyesal?


Cuba kita bayangkan lagi.....

Hari ini hari pertama kita diterima bekerja. Kita pun mulakan dengan sebaik mungkin. Mengikut arahan yang diberikan dengan patuh dan tepat. Hari demi hari kita sentiasa membuat penambahbaikan dalam kerja-kerja kita. Adakala kita terpaksa meninggalkan kepentingan peribadi untuk melaksanakan tugas-tugas dan kerja-kerja kita. Kebanyakan hari juga kita bekerja over time malah di hari cuti pun kita dengan sukarelanya ambil OT. Penat lelah, peluh keringat, berbanting tulang empat kerat, kita berusaha dan menyempurnakan kerja kita. Dengan harapan, gaji yang ditetapkan dan ganjaran over time akan dibayar pada waktu gaji masuk.

Tetapi setelah hujung bulan, tambah beberapa hari dan minggu, bayaran yang dinantikan tidak diterima jugak. Malah lebih malang kita diberhentikan kerja tanpa bayaran satu sen pun.

Apakah perasaan kita setelah penat lelah kita berusaha susah payah jerih perih kita harungi, tetapi akhirnya apa yang kita harapkan tidak diperolehi?

Menyesal? Kecewa? Hampa? Marah?


Dan cuba kita bayangkan pula......

Masa kehidupan kita di dunia ini, tiap-tiap hari dan setiap masa yang berlalu kita kerjakan kebaikan dan beramal. Masa yang sepatutnya lapang, kita dah sibukkan diri dengan beramal. Harta yang sepatutnya menimbun, kita dah banyak korbankan kepada perkara kebaikan. Banyak dah kita korbankan, masa, harta, tenaga, keluarga, dan macam-macam lagi. Dengan harapan, apa yang kita kerjakan akan dapat kita nikmati hasilnya atau ganjarannya di akhirat kelak. Dengan harapan, amalan-amalan tersebut dapat membantu kita untuk masuk syurga.

Tetapi, tatkala berlakunya hisab, amalan-amalan kita tadi tiada. Tidak ada langsung ganjaran-ganjaran untuk setiap satu yang kita dah lakukan itu. Bagaikan habuk, bagaikan debu, amalan-amalan yang kita rasa sudah menimbun kita kerjakan di dunia tadi berterbangan begitu sahaja, tidak dapat langsung walaupun sedikit membantu memberatkan neraca kebajikan kita.

Mengapa?

Dan barulah kita teringat bahawa setiap amalan dan kebaikan yang kita kerjakan, kita terlupa untuk mengikhlaskan diri kita, kita terlupa untuk membetulkan niat kita, dan kita rupanya di dunia dahulu hanya ingin mengejar nama dan ingin disebut-sebut. Kita banyak bersedekah supaya orang nampak kita kaya dan dermawan. Kita ke medan peperangan supaya orang kata kita berani. Kita berdakwah supaya orang kata kita da’i yang hebat. Kita menjadi wara’ supaya orang kata kita alim. Rupanya amalan-amalan itu dinodai dengan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk, lantas akhirnya tiada balasan ganjaran untuk setiap satunya.

Dan tatkala itu, apakah perasaan kita?

Sekiranya kita kecewa dan hampa dengan pokok mangga yang tidak berbuah tadi, kita boleh menanam pokok mangga yang lain. Sekiranya kita menyesal dan hampa dengan kerja yang tidak bergaji tadi kita boleh mencari kerja yang lain.

Tetapi..

APAKAH PENYESALAN DAN KESEDIHAN KITA DI AKHIRAT NANTI MEMBOLEHKAN KITA UNTUK MENJALANI KEHIDUPAN DUNIA YANG LAIN?

Yang tinggal nanti hanyalah rasa sia-sia dan kerugian yang nyata.. dan celakalah diri kita ketika itu.. na'uzubillah...




If you enjoyed this post Subscribe to our feed

No Comment

Post a Comment

Daisypath Anniversary tickers