Malam Tujuh Likur & Lailatul Qadar
Written on 1:19 AM by WhoSign
“cepat pergi pasang pelita ni!”
“ala.. nanti la Kak Ros.. raya kan seminggu lagi..”
“terlepas malam lailatul qadar nanti padan muka..”
Masih ku teringat lagi bait-bait perbualan dalam cerita animasi yang diminati ramai ketika bulan puasa ni. Aku juga meminati cerita animasi tersebut. Satu kemajuan di dalam bidang animasi bagi rakyat malaysia. Tidak kisah lah walaupun negara-negara lain sudah jauh lebih maju. Setidaknya animasi yang ni ada identitinya yang tersendiri. Cuma untuk episod yang tersebut aku tidak berapa berkenan.
Aku tahu pernyataan tersebut adalah tidak patut sama sekali. Lebih-lebih lagi animasi tersebut ditonton oleh rata-ratanya kanak-kanak yang mana mereka ini masih mentah dan mudah terpengaruh. Perkaitan antara lailatul qadar dan pasang pelita atau malam tujuh likur adalah satu kepercayaan karut yang menyelebungi masyarakat malaysia. Apakah kepercayaan tersebut?
Sesetengah orang kata, kepercayaan tersebut adalah daripada pengaruh hindu, yang mana pelita-pelita dipasang bagi menerangi jalan untuk roh-roh yang akan pulang ke rumah pada musim perayaan ini.
Timbul juga kepercayaan yang mengatakan malaikat akan turun pada malam lailatul qadar, jadi rumah-rumah perlu diterangi dengan pelita-pelita supaya malaikat dapat datang ke rumah kita. Hal ini menjadi satu fitnah kepada islam apabila orang yang murtad mengatakan malaikat ni rabun, kena pasang pelita pada malam lailatul qadar supaya tidak sesat. Kenyataan dan kepercayaan ini semua adalah tidak benar.
Namun begitu, ada juga hasil daripada persoalan yang ku ajukan di forum, golongan bijak pandai menolak semua itu. Mereka lebih mengatakan pasang pelita itu hanyalah sekadar untuk meraikan kemeriahan nak menyambut kedatangan hari raya.
Pada pandangan ku, malam lailatul qadar itu tidak pasti berlakunya pada tarikh yang mana, jumhur ulama sepakat menyatakan ianya di malam sepuluh yang terakhir di bulan ramadhan. Dan malam ini sepatutnya diterangi dengan amalan-amalan untuk mendapatkan rahmat dan keredhaan Allah. Bukannya dengan pelita-pelita.
Namun, bagiku, sekiranya pelita-pelita tersebut dipasang untuk meraikan kemeriahan hari raya, untuk bermain bunga api, ku kira ianya dibolehkan. Boleh dikira ianya sebagai adat, tetapi jangan lah pula dikaitkan dengan kepercayaan-kepercayaan karut yang tidak berasas.
Kini, ku kira pelita api itu bagaikan telah menjadi suatu yang “tradisional”. Mengapa? Sebab rata-rata rakyat malaysia kini lebih gemar menggunakan lampu kelip-kelip berbanding memasang pelita. Mungkin kerana sukar untuk mendapat bekalan minyak tanah ataupun sebab harga minyak dah naik? Huhu..
Apa pun.. biarlah kemeriahan yang kita raikan ini tidak menjauhkan kita daripada mengingatiNya dan tidak mensia-siakan tarbiyah kita sebulan di Madrasah Ramadhan yang kian berlalu ini..
Semoga hari raya aidilifitri ini kita kembali kepada fitrah kita semula; islam agama fitrah..
Wallahu a’lam
______________________________________