Pertemuan Dengan Cahaya
Written on 3:21 PM by WhoSign
Sembahyang Subuh: Pertemuan dengan Cahaya
Ketika malam melabuhkan tirainya, kegelapan menjadi pekat dan manusia sedang tenggelam dibuai mimpi indah, tiba-tiba ketenangan pada waktu itu dibelah oleh pancaran rabbani dan seruan kudus daripada Tuhan sekalian alam yang melaungkan:
Sembahyang lebih baik daripada tidur!
Ketika itu, jiwa yang beriman bangkit menyahut panggilan tersebut. Ia mengalahkan syaitan dan menentang kemalasan, untuk dia pergi melakukan pertemuan yang paling baik. Ia adalah pertemuan dengan cahaya.
Kerana Allah swt mengasihi orang yang bersembahyang, terutamanya sembahyang subuh. Dia menjadikan mereka berada di dalam perlindunganNya, memakaikan mereka dengan cahayaNya dan menjaga mereka dengan penjagaanNya.
Sesiapa yang bersembahyang subuh, maka dia berada di dalam jagaan Allah. Allah akan memberikan cahaya kepada hatinya, melapangkan dadanya dan dia akan dapat menghirup bayu yang paling baik.
Neraca Sebenar
Sembahyang subuh adalah neraca sebenar bagi keimanan. Sesiapa yang mahu mengetahui kedudukannya di sisi tuhannya, hendaklah dia menggunakan neraca sembahyang subuhnya bagi mengetahui kedudukannya itu.
Jika dia seorang yang menunaikan sembahyang subuh terutamanya di masjid, maka dia berada di atas jalan yang lurus. Dia hendaklah berterusan berada dalam keadaan tersebut. Tetapi jika dia tidak pergi sembahyang subuh dan masih lagi tidur, maka dia hendaklah berwaspada daripada kemurkaan Allah. Dia hendaklah bangun daripada tidurnya sebelum terlambat.
Abdullah bin Umar r.a. berkata: “Apabila kami tidak melihat seseorang pada sembahyang subuh dan isyak, kami akan bersangka buruk terhadapnya.”
Sembahyang subuh menyelamatkan seseorang daripada sifat nifaq bagi sesiapa yang bimbang dirinya menjadi munafiq. Abdullah bin Mas‘ud berkata: “Kami sentiasa bersembahyang subuh bersama dengan Rasulullah saw secara berjamaah. Hanya orang munafiq yang terang nifaqnya sahaja yang tidak pergi menunaikannya.”
Tanyalah diri anda, kenapa anda tidak bersembahyang subuh?
Adakah kerana kelemahan keimanan, atau kerana malas?
Adakah kerana tidak mengetahui ketinggian kedudukan sembahyang subuh?
Adakah kerana anda tidak menghormati Allah, tuhan sekalian alam?
Atau apakah sebabnya?
Ketahuilah kedudukan dan nilai diri anda melalui sembahyang subuh ini.
Faedah-faedah / Fadhilat Sembahyang Subuh
Sembahyang subuh mempunyai banyak faedah, antaranya:
1. Anda akan sentiasa berada di dalam perlindungan dan jagaan Allah swt.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang bersembahyang subuh secara berjamaah, maka dia berada di dalam jagaan Allah.” (Hadis sahih)
2. Ia menyelamatkan anda daripada neraka.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidak akan masuk neraka sesiapa yang bersembahyang sebelum terbit matahari dan sebelum ia tenggelam.” (Hadis sahih)
3. Sembahyang anda disaksikan oleh para malaikat.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Malaikat malam dan siang akan berkumpul pada waktu sembahyang subuh.”
4. Dijanjikan syurga.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang bersembahyang subuh dan asar akan masuk syurga.” (Hadis sahih)
Bagaimana Anda Boleh Bersembahyang Subuh
Peliharalah perkara-perkara berikut, insya Allah anda akan bangun untuk menunaikan sembahyang subuh:
1. Jangan melewatkan makan malam sehingga hampir waktu tidur dan janganlah anda memenuhkan perut anda dengan makanan.
2. Kuatkan azam dan tekad serta ikhlaskan niat dan berdoalah agar Allah membangkitkan anda untuk sembahyang subuh.
3. Adakan suatu cara yang boleh menyebabkan anda bangun, seperti meminta sahabat anda membuat panggilan telefon kepada anda pada waktu subuh, mengunci jam penggera atau meminta seseorang mengetuk pintu rumah anda sebelum dia ke masjid untuk sembahyang subuh.
4. Tidurlah dalam keadaan berwuduk di atas badan sebelah kanan. Jangan lupa membaca zikir sebelum tidur.
5. Sedapat mungkin jangan tidur bersendirian di dalam sebuah rumah.
6. Dari masa ke semasa, ulangi pembacaan anda tentang faedah-faedah sembahyang subuh dan hukuman orang yang meninggalkannya.
7. Berkawanlah dengan kawan-kawan yang baik terutamanya ‘kawan-kawan untuk sembahyang subuh’. Anda hendaklah sama-sama memastikan bahawa kesemuanya telah bersembahyang subuh pada setiap hari.
Halangan-halangan Sembahyang Subuh
Jika anda terdiri daripada orang-orang yang tidak mengerjakan sembahyang subuh apatah lagi di masjid, dan anda sedang mencari-cari jalan keselamatan, maka kami akan tunjukkan kepada anda pemusnah paling besar yang menghalang anda daripada menunaikan sembahyang subuh.
1. Maksiat:
Ia adalah halangan paling besar dan paling memusnahkan. Kerana Allah swt hanya memilih di kalangan para hambaNya yang sentiasa memelihara sembahyang subuhnya. Bagaimana mungkin Allah memilih orang yang berbuat maksiat terhadapNya sepanjang siang.
Abu Sulaiman al-Darani berkata: “Tidak terlepas seseorang daripada sesuatu sembahyang jamaah melainkan kerana satu dosa yang telah dilakukannya.”
2. Kawan yang tidak baik:
Kawan yang tidak baik merupakan perosak paling besar pada hari ini. Maka sesiapa yang mengetahui suatu kebaikan dilakukan oleh kawannya, dia hendaklah berpegang dengannya. Dan sesiapa yang mengetahui suatu keburukan pada kawannya, maka dia hendaklah meninggalkannya sebelum terlambat.
Firman Allah swt (surah al-Furqan ayat 27-28) yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!”
3. Berjaga malam dan tidur lewat:
Sesiapa yang tidur awal, dia akan bangun awal. Inilah hakikat yang sama-sama kita ketahui. Rasulullah saw tidak suka berjaga malam selepas waktu isyak kecuali kerana keperluan penting seperti bermuzakarah tentang ilmu atau bersenda gurau dengan isteri atau berbincang tentang urusan umat Islam.
Kunci-kunci Kebaikan
Waktu akhir malam merupakan saat-saat yang paling afdal. Ia adalah waktu Rasulullah saw mentarbiah satu generasi beriman sehingga mereka mampu menanggung bebanan agama ini dan mampu memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Firman Allah swt (surah al-Muzzammil ayat 5-6) yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.”
Oleh itu, sembahyang subuh dan qiyamullail adalah antara kunci kemenangan dan kelengkapan yang diperlukan untuk memperoleh kejayaan.
Umat yang tidak bersembahyang subuh, tidak berhak mendapat kemenangan.
Goldameir, bekas Perdana Menteri Israel pernah berkata: “Hanya apabila bilangan orang Islam yang menunaikan sembahyang subuh sama seperti bilangan mereka ketika menunaikan sembahyang Jumaat, maka hanya pada ketika itu mereka akan menang dan dapat mengalahkan kita.”
Oleh itu, kita dapati tentera-tentera Islam dahulu memulakan peperangan sebaik sahaja selepas sembahyang subuh sebagai langkah mengikut jejak langkah Rasulullah saw sebagaimana kemenangan yang baginda perolehi pada Perang Khaibar.
Qutuz yang memimpin angkatan tentera Islam pada Perang Ain Jalut juga keluar sebaik sahaja menunaikan sembahyang subuh dan berdoa kepada Allah dengan penuh ketundukan. Beliau menang dalam peperangan tersebut.
Begitu juga dengan Salahuddin al-Ayyubi, beliau menjadikan sembahyang subuh sebagai permulaan peperangan yang dilancarkannya. Alangkah hebatnya peperangan Hittin. Dengan keimanan para tenteranya beliau berjaya membebaskan al-Aqsa.
Maka sembahyang subuh adalah pra syarat kemenangan. Wahai saudaraku! Janganlah anda melewatkan kemenangan!