Search This Blog

Muslim Cemerlang

Written on 8:28 PM by WhoSign

Dalam menerobosi arus kehidupan kala ini, sukar sekali untuk kita menjadi individu muslim yang cemerlang. cemerlang seperti mana umat-umat islam terdahulu. dari sudut apakah mereka cemerlang? sudah tentu cemerlang dalam segala aspek. ya, tapi bagaimana kita ingin cemerlang seperti mereka? pasti ada ciri-cirinya...

==Muslim cemerlang==


Cemerlang AKIDAH dan IBADAH

Muslim yang cemerlang, akidahnya bukan sekadar yakin dan percaya di mulut, bahkan diperlihatkan pada amalannya dan terkesan di hatinya. setiap tingkah dan gerak lakunya tidak sekali pun dipisahkan daripada agama. islam menjadi nombor 1 dalam setiap keadaan. semasa sendiriannya dan semasa di khalayak ramai. Sentiasa menjadi pegangannya akan firman Allah yang mafhumnya...

dan tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada Ku. (adz-zariyat:56)

bagi individu muslim yang cemerlang itu juga, ibadahnya tidak cukup sekadar amalan fardhu seharian, bahkan ditambah dan berlumba-lumba dikejarnya amalan-amalan sunat yang termampu bagi dirinya.

dikejarnya akhirat bagaikan nafasnya di dunia ini sesaat sahaja lagi, diusahakan kerja-kerja di dunia bagaikan hidupnya 1000 tahun lagi.


== Cemerlang FIZIKAL dan JASMANI ==

Individu muslim yang cemerlang, tidak boleh tidak, mesti cemerlang fizikal dan jasmaninya juga. kerana menjadi pegangannya..

"Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah.."

[Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya) ; oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata :” Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah :” Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan. ” Riwayat Muslim]

Bagaimana hendak dikerjakan amalan-amalan seharian pagi dan malam sekiranya fizikalnya tidak tahan? bagaimana hendak diperjuangkan agamanya jika jasmaninya tidak kuat? maka kekuatan fizikal dan jasmani itu menjadi kefardhuan bagi individu muslim yang cemerlang.


Cemerlang AKAL dan EMOSI

tidak cukup dengan itu, individu muslim yang cemerlang juga cemerlang akal dan emosi. saling berkait dengan kecemerlangan fizikal dan jasmaninya..

العقل السليم في الجسم السليم
minda yang cerdas daripada fizikal yang cergas.

justeru, individu muslim cemerlang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu pengetahuan. cemerlang akal menjadikan individu muslim itu bukan seorang yang jumut, ketinggalan zaman, dan membebaskan dirinya daripada belenggu kejahilan. kejahilanlah yang membuatkan seseorang itu terjerumus ke lembah maksiat, dosa, dan rendah harga diri.
cemerlang emosi individu muslim itu, maka bukan emosi yang menguasai diri, bahkan dirinya lah yang mengawal emosinya.

kecerdasan fikiran dan keteguhan emosi sangat penting bagi seseorang individu muslim, bukan sahaja untuk menyuburkan izzah dalam dirinya , bahkan dalam usaha untuk mentarbiyah insan-insan di sekelilingnya.. bagi menerobosi arus kehidupan kala ini.


_.-^ Bagaimana hendak mencorak politik setempat? hendak mencorak ekonomi semasa? hendak mencorak khilafah dunia? coraklah diri.. jadilah modal insan, individu muslim cemerlang! ^-._

Cerita Angah & Adik: Takbir dan Sunnah Perjuangan

Written on 6:31 AM by WhoSign

Pagi raya yang mulia kali itu, diiringi dengan hujan renyai-renyai, menambahkan lagi kesyahduan pagi raya.

“adik, cepat la bangun. Siap-siap nak pegi solat raya ni.” Si Angah menggoyang-goyang badan Si Adik yang sambung tidur selepas solat subuh tadi.

“adik, siap cepat. Hujan ni. Kita pergi masjid naik kereta jer.” Tambah Si Ayah dari jauh.

Seperti yang telah dijangka, banyak kereta telah memenuhi tepi-tepi jalan raya. Penduduk kampung kebanyakannya datang ke masjid menaiki keret
a pagi itu selain daripada mereka yang berjalan menggunakan payung. Justeru, samada perlu menapak jauh atau cuba mencari ruang di dalam kawasan letak kereta masjid.

Perlahan kereta mereka diparking di halaman masjid walaupun menghalang kereta-kereta lain.

“nanti lepas khutbah, kita keluar awal sikit tau. Sebab block kereta lain ni.” Pesan Si Ayah.

“ok.” Serentak Si Angah dan Si Adik sambil membuka pintu kereta.

_________________________________________


Si Angah dan Si Adik membuka pintu kereta. Si Ayah pun baru tidak lama menunggu di dalam kereta sesudah selesai khutbah dan tahlil di masjid.

“angah, ada satu soalan ni. Kenapa tak ramai orang kat masjid tadi? Dulu masa raya aidilfitri ramai orang sampai tak muat masjid. raya aidiladha ni bahagian luar masjid pun tak penuh. Kenapa?” tanya Si Adik kepada Si Angah.

Samada saja Si Adik ingin menguji atau benar-benar Si Adik tidak tahu. Si Angah diam lama. Tidak memberikan sebarang respons. Mungkin ada yang berlegar-legar di fikiran Si Angah, namun dia tidak pasti akan jawapannya. Si Ayah yang mendengar persoalan Si Adik tidak berjawab, bertanya sekali lagi kepada Si Angah.

“angah, adik tanya tu.” Si Ayah menegur.

“erm. Entah la adik, ayah. Ramai yang tak sembahyang raya kali ni kot. Raya aidiladha kan tak semeriah raya aidilfitri.” Si Angah mengajukan sangkaannya.

“kalau aidilfitri hari tu ramai yang sembahyang raya kat sini, mungkin raya aidiladha ni diorang sembahyang kat kampung lagi satu la
pulak. Macam angah dengan adik, kan ada dua kampung.” Si Ayah mengemukakan pandangannya.

Dalam masa yang sama sebenarnya dia ingin mengajar anak-anaknya supaya berfikiran positif dan husnuzzon. Tidak lama kemudian, mereka sudah tiba di rumah. Si Adik duduk menghadap TV yang sedang menyiarkan takbir raya.



Takbir Raya.mp3



“takbir lagi. Asyik takbir jer.” Rungut Si Adik.

Si Ayah yang baru duduk hendak menjamu ketupat berlaukkan kari ayam terdengar rungutan Si Adik lantas beralih tempat duduk. Si Ayah duduk di sebelah kanan Si Adik menghadap TV sambil mempelawa Si Adik makan. Si Ayah tahu masa cuti-cuti sebeginilah masa yang dia ada untuk meluangkan masa bersama-sama anak-anaknya. Si Ayah dapat membaca fikiran Si Adik. Pasti ada perkara yang sedang bermain di fikiran Si Adik. Saja Si Ayah duduk sebelah Si Adik.

“kenapa diorang asyik takbir je ayah? Takbir la lepas solat nanti ker. Tadi kan dah takbir.” Tanya Si Adik sambil duduk kembali sebelah Si Ayah setelah mengambil sepinggan ketupat berlaukkan kari ayam.

Si Angah pula membawa sepinggan kari ayam sahaja untuk di makan begitu sahaja sambil duduk di sebelah kanan Si Ayah. Si Ayah yang duduk di tengah-tengah anak-anaknya itu, cuba merungkaikan persoalan yang diajukan Si Adik.

“adik ingat lagi tak masa ayah mula-mula suruh adik tidur di bilik sendiri dulu? Adik takut kan?” Si Ayah menyoal kembali Si Adik.

Si Adik mengangguk sambil meneruskan kunyahan.

“masa tu, ayah pesan kat adik supaya tanamkan dalam diri adik yang adik ni berani. Adik pun sebut ‘adik berani’ banyak kali sampai adik pun tertidur.. Kan?”

Si Adik mengangguk lagi. Jari tangan kanannya di jilat-jilat. Memang kari ayam yang dimakannya sedap hingga menjilat jari.

“kalau adik ingat lagi, esoknya, adik dah tak takut dan terus tidur. Tapi lusanya, adik takut semula. Ayah ingatkan perkara yang sama. Tanamkan dalam diri adik, adik berani. Pastu adik pun sebut ‘adik berani’ banyak kali macam masa mula-mula. Ingat lagi?” cerita Si Ayah panjang lebar.

“ingat ingat ingat.” Si Adik meniru gaya Ipin dalam cerita Upin & Ipin yang ditontonnya dulu.

“haa.. jadi kita takbir banyak kali ni untuk tanamkan dalam diri kita supaya tak lupa yang Allah itu Maha Besar. Kan ayah?” Si Angah mencelah.

“ya.. betul tu. Kita kena tanamkan dalam diri kita akan kebesaran Allah ta’ala. Selain kita membesarkan dan memuji-muji Allah, dalam masa yang sama kita kena keluarkan kebesaran-kebesaran benda yang lain. Kebesaran dunia, kebesaran harta, kebesaran pangkat dan kedudukan, dan lain-lain lagi. Jadi, kita dapat beri makanan rohani, meningkatkan ibadat, beramal, dan melakukan kerja-kerja dengan kebesaran Allah dalam diri kita. Untuk membesarkan Allah dalam diri dan hati kita, kena la berulang-ulang kali tanamkan dalam diri kita. Dan... bukan ketika raya ni saja tau.” Si Ayah menghabiskan pesanan panjang lebarnya kemudian meneguk air di cawan.

“dengar tu adik. Bukannya merungut jer bila dengar orang takbir. Dengar orang takbir tu pun insyaAllah dapat pahala. Kan ayah?” Si Angah memerli Si Adik.

Si Ayah mengiyakan sambil mereka bertiga ke sinki di dapur membasuh pinggan dan cawan mereka. Kemudian mereka duduk menghadap TV semula yang sudah bertukar siarannya.

“tapi kan ayah....” Si Angah membuka bicara. “..apa kaitannya dengan sembelih korban?”

“sunnah kejayaan.” Jawab Si Ayah ringkas. Saja dijawab ringkas untuk membangkitkan rasa ingin tahu dalam diri anaknya.

“maksud ayah?” tanya Si Angah lagi. Ternyata Si Angah ingin tahu lebih lanjut.

“angah dan adik tahu kan kisah peristiwa di sebalik raya korban ni? Masa khutbah tadi pun ada diceritakan.” Si Ayah ingin memastikan anak-anaknya peka dengan sirah islamiyah, bukan hanya sejarah ketamadunan manusia sahaja.

“tahu tahu tahu.” Kali ini serentak Si Angah dan Si Adik meniru gaya Ipin sambil tersenyum sesama mereka.

“kalau ayah pula yang nak sembelih kamu berdua boleh?” gurau Si Ayah.

“errrrr.. heeee...” Si Angah dan Si Adik tersengih sahaja tidak pasti.

“takde la.. ayah gurau jer. Itukan wahyu suruhan Allah terhadap nabi Ibrahim. Sekarang mana ada lagi wahyu turun.” Si Angah dan Si Adik lega.


Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar". Tatkala keduanya Telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan kami panggillah dia: "Hai Ibrahim, Sesungguhnya kamu Telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang Kemudian, (yaitu)"Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim".


Si Ayah membacakan ayat-ayat di atas daripada surah as-soffat ayat 101-109 dengan berlagu secara tartil, memberi peluang kepada anak-anaknya untuk mentadabbur kisah yang dirakamkan dalam kitab suci al-Quran itu.

“wah.. best la ayah baca. Macam rakaman bacaan imam masyari yang selalu ayah mainkan dalam kereta.” Si Adik memuji bacaan Si Ayah manakala Si Angah terdiam kagum.

“baik. Cuba anak-anak ayah perhatikan, apakah perintah Allah? Apakah yang dihadapi dalam melaksanakan perintah tersebut? Dan apakah yang berlaku selepas itu?” Si Ayah memastikan penerangan berlaku secara dua hala agar Si Angah dan Si Adik benar-benar faham.

“erm.. perintahnya, sembelih anak sendiri. Masa nak laksanakan, kena sabar, tawakkal, dan yakin kepada Allah.” Si Angah menyatakan point-point nya.

“tu satu ujian daripada Allah. Jadi, lepas tu, Allah bagi ganjaran sebab berjaya menghadapi ujian dariNya.” Si Adik pula menyambung.

“bagus angah, adik! Dengan erti kata lain, dalam kita menghadapi sesuatu ujian, dugaan, rintangan, mahupun halangan dalam kehidupan, kita perlu sabar, yakin, dan tawakkal kepada Allah setelah berusaha seperti melakukan pengorbanan, beramal dengan istiqamah, dan sebagainya. Barulah dihujungnya kita akan mengecap kejayaan dan ganjaran yang diimpikan. Itulah sunnah kejaayan yang ayah maksudkan tadi.” Terang Si Ayah panjang lebar.

“ooo..” Si Angah dan Si Adik mengangguk faham.

“jadi, ayah harap, angah, adik, banyakkan tanamkan kebesaran Allah dalam diri, supaya nanti dalam menghadapi ujian dan rintangan, anak-anak ayah tak mudah berputus asa dan sentiasa meletakkan pengharapan, keyakinan, dan tawakkal pada Allah. Ingat tu..”

“ingat, ayah!”



Salam Eidul Adha al-Mubarak

Written on 5:36 PM by WhoSign



Kembara Tanah Palestin 2008

Written on 11:48 PM by WhoSign


video


"Bagaimana keadaan Gaza sekarang Abd Rahman?", ya akhi .. keadaan Gaza sungguh teruk. Jelas sahabat saya itu. Tiga hari lepas, wakil komuniti MAP sempat bertanya khabar kepada salah seorang pelajar Palestin yang menuntut di Universiti Kaherah. Respon perkhabaran tersebut ternyata amat menyedihkan khasnya terhadap penduduk Palestin Gaza yang berhadapan dengan sekatan Israel. Sekatan tersebut mengakibatkan Semenanjung Gaza kembali gelap malah bekalan air turut terputus. Bekalan makanan dan ubat-ubatan juga berkurangan dari hari ke hari. Bagaimana tidak, pihak UNRWA yang berada di Gaza juga memohon kepada pihak luar agar membantu mereka supaya bantuan makanan dan ubat-ubatan dapat diberikan kepada penduduk Palestin Gaza.

Gaza kembali gelap setelah Israel menutup sempadan (perlintasan) menyebabkan bahan bakar dan seumpamanya yang dijadualkan akan dibawa masuk ke Gaza tertangguh. Alasan Israel kerana pejuang-pejuang Palestin menyerang Israel dengan serangan roket.

Berikut adalah catatan 'bencana kemanusiaan' yang dihadapi penduduk Gaza:

>> 29/12/07, Muhammad Salih 55 meninggal dunia kerana tidak dibenarkan membuat rawatan di luar Gaza. Dilaporkan, sempadan Gaza-Israel ditutup oleh Israel.

>> 09/01/08, tunjuk perasaan masyarakat arab di Negara-negara jiran dan berhampiran Palestin kerana membantah lawatan Bush ke Timur Tengah. Lawatan Bush disifatkan merangsang keganasan Israel terhadap penduduk Palestin.

>> 20/1/2008, penjana utama yang membekalkan elektrik di Gaza telah dihentikan operasi kerana sekatan Israel.

>> 20/01/08, Jalan-jalan di Negara Jordan, Lubnan, Sudan, Maghribi dan lain-lainnya memperlihatkan sensitiviti rakyat-rakyat yang turun di jalanan mengadakan tunjuk perasaan membantah kawalan dan kepungan Israel(sekatan Israel) terhadap Gaza.

>> 22/01/08(sempadan Rafah), para penunjuk perasaan yang terdiri dari kalangan penduduk Palestin berjaya merempuh sempadan Rafah. Sebaik sahaja pintu sempadan yang dirempuh terbuka, beberapa pesakit yang memerlukan rawatan segera diusung melepasi sempadan Mesir.

>> Siaran langsung Al-Jazeerah (22/01/08), di sempadan Rafah(Gaza-Mesir) dan Erez (Beit Hanoun-Israel) menunjukkan betapa krisis kemanusiaan memberi kesengsaraan terhadap penduduk Gaza.

>> 23/01/08, PBB mengakhiri perjumpaan tergempar membincangkan keadaan Gaza tanpa ada kesepakatan.

>> 24/04/08, Perunding Eropah menggesa Israel membekalkan semula bahan bakar ke Semenanjung Gaza.

>> 11/05/08, Bekalan elektrik di Gaza terputus setelah stesen janakuasa elektrik utamanya dihentikan operasinya ekoran kehabisan bekalan bahan bakar.

>> 30/05/08, Penduduk Palestin di Gaza mengadakan tunjuk perasaan secara aman di sempadan Sufa (Gaza-Israel). Tujuan tunjuk perasaan itu adalah menuntut dibebaskan kawalan dan kepungan (siege) ke atas Gaza. Tentera Israel juga bertindak melepaskan tembakan yang mengakibatkan beberapa penunjuk perasaan parah.

>> 19/06/08, Gencatan senjata antara HAMAS dan Israel. Antara syarat persepakatan tersebut adalah:

1) kedua belah tidak boleh serang antara satu sama lain selama 6 bulan.
2) Israel perlu bekalkan Gaza dengan bahan bakar dan beberapa keperluan penduduk Gaza. Juga, pihak Israel mesti membuka pintu sempadan (perlintasan) Israel-Gaza.

>> Ogos/2008, 2 buah kapal aktivis keamanan dunia sampai ke pelabuhan Gaza.

Keadaan agak tegang beberapa selepas persepakatan tersebut.

>> 19/10/08, Rentetan sekatan Gaza yang dikenakan Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza telah menyebabkan 80% daripada jumlah penduduk berada di bawah paras kemiskinan.

Penduduk Israel menghalang trak-trak pengangkut yang membawa kargo barangan ke Semenanjung Gaza melalui sempadan (perlintasan) Kerem Shalom, timur Gaza.

>> 04/11/08, Israel serang beberapa kawasan di Gaza. Serangan Israel disifatkan melanggar persepakatan "gencatan senjata" menyebabkan 6 penduduk Gaza terbunuh dan beberapa lagi cedera.

>> 05/11/08, pejuang-pejuang Palestin membalas serangan Israel yang mengakibatkan Israel terus menutup sempadan dan menghentikan bekalan bahan bakar dan seumpamanya ke Semenanjung Gaza.

Penduduk Gaza hidup dalam kegelapan, malah bekalan air turut disekat.

>> 20/11/08, Kanak-kanak palestin mengadakan tunjuk perasaan yang bertujuan menyeru masyarakat antarabangsa dan penduduk dunia membebaskan Gaza dari sekatan Israel. Tunjuk perasaan tersebut adalah sempena hari kanak-kanak sedunia.

>> 22/11/08, Wakil UNRWA melalui berita al-jazeerah memohon mana-mana bantuan bagi menyelamatkan Gaza dari sekatan ini. PBB juga mendesak Israel mengakhiri tempoh penutupan pintu sempadan Israel-Gaza.

Kesengsaraan penduduk Palestin Gaza mendapat simpati dari dua buah kem pelarian Palestin di Kem Pelarian al-Wehdat, Jordan dan Kem Pelarian Yarmouk, Syria yang mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran.

>> 24/11/08, Jordan menghantar 16 trak pengangkut ke Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan.

>> 26/11/08, Pertemuan tergempar menteri-menteri luar arab di Kaherah. Antara fokus perbincangan adalah 'sekatan Gaza'.

>> 28/11/08, Israel membenarkan bekalan makanan, bahan bakar dan seumpamanya dibawa masuk ke Gaza rabu lalu tetapi terlalu sedikit dan tidak mengubah keadaan mengikut sumber Palestin.

Sehingga kini, 256 (terkini 260 nyawa) penduduk Palestin meninggal dunia akibat sekatan. Jumlah ini tidak termasuk mangsa serangan dan pengeboman Israel.

Justeru, dengan paparan yang kami bawakan ini adalah untuk menyeru semua mahasiswa-mahasiswi dan sesiapa sahaja untuk merasai apa yang mereka lalui saat ini walaupun hanya untuk beberapa minit dan seringan-ringan usaha.

____________________________________________________________________
Komuniti MAP menetapkan, pada hari selasa (02 Disember 2008) tepat jam 8.00 malam waktu Mesir, sila padamkan lampu rumah anda sekitar 5 minit. Jika yang berada di kelas-kelas pengajian kitab kuliah bersama kawan-kawan juga boleh lakukan sedemikian. Ayuh kita lakukan bersama, bukan anda sahaja tetapi kita semua.. serentak mengiakan kempen ini.
____________________________________________________________________

Semoga kempen 'simpati dan sehati terhadap Gaza' menambahkan lagi kasih sayang sesama umat Islam. Buktikan tindakan ini atas dasar kemanusiaan. Jika kita tidak sanggup melihat mereka bergelapan kerana dizalimi oleh rejim Israel, hanya 5 minit gelapkan rumah kita. Saudara kita yang berhampiran Palestin telah buktikan simpati mereka dengan tindakan sebegini.

sumber: Mini Pavilion


Kelebihan 10 Hari Pertama Zulhijjah

Written on 2:48 PM by WhoSign













Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah?

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).


Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.


6 Pegangan Muslim

Written on 4:47 AM by WhoSign

ku terfikir lagi akan perkara itu sejak pulang dari rumah atuk petang semalam.. perbincangan antara ayah dan atuk mengetuk minda ku lagi untuk memikirkan akan perkara itu.. dan persoalan biasa lantas timbul.. bersediakah aku, dia, mereka? dan minda ku terus berlangsung memikirkan untuk sekian kalinya.. tentang persamaan fikrah...... hmm..

_____________________________________________


Orang yang menaiki bot/kapal/sampan, meredah arus lautan, perlu berpegang pada something agar tidak terhuyung-hayang yang akhirnya boleh jatuh ke dalam air, dan at least perlu berpegang pada stereng pengemudi/pendayung untuk menghalakan bot/kapal/sampannya ke arah hala destinasi yang dituju.

Ya.. Kita sebagai manusia, dalam meredah arus dunia sekarang, memerlukan kepada pegangan-pegangan dan panduan bagi mengelakkan daripada jatuh tersungkur dalam masa yang sama menuju ke destinasi untuk mencapai redhaNya..

Hayati dan renung-renungkan..


Enam Pegangan Muslim

1. Agama hanya dapat dirasakan oleh sesiapa yang menegakkannya dalam dirinya.


2. Bahagia dan sa'adah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.


3. Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahan penderitaan dan kepapaan.


4. Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada mukmin yang mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.


5. Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan kerana makna dan guna hidup terletak pada keyakinan perjuangan.


6. Belajar memanfaatkan diri berguna untuk kepentingan cita dan agama.



Taubat Seorang Hamba

Written on 10:36 PM by WhoSign

Taubat Seorang Hamba


video



Album : Munsyid : Irsyadee Feat Hafiz Hamidun


Hati hiba mengenangkan dosa-dosa yang ku lakukan,
Oh Tuhan Maha Kuasa,
Terima taubat hamba berdosa...



Ku akui kelemahan diri,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x.....
Taubatku ini.....


Telah aku merasakan
derita jiwa dan perasaan,
Kerana hilang dari jalan
menuju redhaMu ya Tuhan.



Ku akui kelemahan ini,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x...
Taubatku ini...

Di hamparan ini
ku meminta moga
taubatku diterima...

Ku akui kelemahan ini,
Ku insafi kekurangan ini,
Ku kesali kejahilan ini,
Terimalah 3x....

Taubatku ini...




p/s:

ku tujukan bait-bait lagu ini khas buat diri,
dan saudara-saudara remaja ku diluar sana..
sementara jasad masih bernyawa, kembalilah..
semoga taubat kita diterima..


Sedang Dunia Sibuk Krisis Ekonomi, Israel Ganyang Al-Quds.

Written on 12:46 PM by WhoSign

Pertubuhan Islam Kristian untuk Pembelaan Al-Quds dan Tempat Suci menegaskan bahawa pemerintah penjajah Israel melakukan perang sebenar terhadap kota suci Al-Quds dengan memanfaatkan kesibukan terhadap krisis kewangan dunia dan pengaruhnya terhadap ekonomi global.

Dr. Hasan Khathir, pemimpin pertubuhan di atas menegaskan bahawa serangan Israel terhadap Al-Quds itu sangat jelas dan tidak perlu diterangkan.

Dr. Khatihir menegaskan bahawa pemerintah penjajah Israel sudah mulai melakukan pemusnahan besar-besaran terhadap bangunan dan perkampungan Arab di kota Al-Quds. Tindakan jahat ini dimulai dari desa Syekh Jarah. Rumah-rumah mereka sudah mulai dihancurkan, penduduknya sudah diusir. Tujuannya adalah menghapus kewujudan mereka dan membangunkan perkampungan Yahudi. Hal ini dilakukan dalam rangka memusnahkan Baldah Qadimah (kota lama) dan menghancurkan perkampungan Arab di sebelah timur laut kota Al-Quds.

Anda Tetap Unik!

Written on 4:28 PM by WhoSign

Setiap orang adalah unik. Setiap orang ada kelebihan dan kekekurangannya yang tertentu. Tidak ada manusia yang sempurna kecuali Rasululluh s.a.w kerana baginda telah ditentukan maksum. Selebihnya tidak terkecuali daripada sifat lemah, buruk, hina, sakit dan bermacam-macam perkara lagi.

Anda tidak perlu berasa susah hati lantaran gemuk, tidak menarik, terlalu rendah malah cacat. Biar bagaimana keadaan anda, anda tetap unik dan tanpa anda alam ini tidak sempurna.

Memang ALLAH menjadikan manusia pelbagai rupa dan gaya. Disitulah berkuasanya ALLAH. Dia berhak dan mampu berbuat apa saja mengikut kehendak-Nya. Kita memang tidak ada pilihan untuk mempersoal itu ini, mempertikai itu ini.

Anda mungkin berasa rendah hati melihat kekurangan-kekurangan yang ada pada diri anda. Nah, anggap ia satu kelebihan. Jika anda sangka anda buruk, ia satu kelebihan yang tiada pada orang cantik. Anda sangka kecantikan sentiasa membawa untung? Tidak, tidak selalunya begitu. Kadang-kadang kecantikan memusnahkan. Setelah anda dikenali sebagai cantik, ketakutan anda terhadap keburukan lebih besar daripada jika anda semulajadinya buruk.

Orang cantik fobia menjadi buruk. Setiap kedutan di wajah akan dirawat dan setiap kedutan begitu menyusahkan dirinya. Saat menjadi buruk pasti tiba, bagaimanakah perasan si cantik meghadapi hari tua mereka. Bukankah rasa susah yang tiada kesudahan?

Kadang-kadang seekor semut diberikan sayap oleh ALLAH supaya dia boleh terbang dan menerjah api. Samalah halnya, kadang-kadang seseorang manusia itu diberikan kecantikan supaya dengan kecantikan itu dia boleh berbuat sebanyak-banyak mungkar untuk diberikan balasan setimpal di Akhirat.

Tontonlah filem atau drama-drama di TV. Kisah hidup orang cantik selalunya penuh duri. Jika anda buruk setidak-tidaknya anda bebas rasa riak dan takbur.

Penghuni neraka kebanyakkannya wanita sebagaimana disabdakan Rasullah s.a.w wanita itu tentu yang cantik tapi gagal memahami untuk apa kecantikan itu diberikan ALLAH kepadanya. Dan wanita itu tidak terkecuali juga yang buruk sebab dia berterus-terusan saja mempertikaikan kerja TUHAN.


Siapakah wanita penghuni syurga itu, barangkali yang cantik dan dia sentiasa faham kecantikan itu ukuran manusia . Cantik pada pandangan ALLAH adalah ketaatannya terhadap semua perintah dan laragan ALLAH. Barangkali juga yang buruk tapi dia faham ALLAH tidak memandang rupa paras tapi apa yang ada di dalam hatinya.

Wahai orang cantik, orang buruk, orang rendah, orang cacat, semuanya itu hanyalah ukuran manusia dan ukuran manusia selalunya sasar. Hargai diri anda sebab kewujudan anda membuktikan kekuasaan ALLAH!


The Difference Is Colourful!


Dont Judge A Book By Its Cover? Siapa Kata?

Written on 11:16 PM by WhoSign




"DONT JUDGE A BOOK BY ITS COVER"



ungkapan di atas selalu kita dengar.. ada masanya kita boleh pakai, ada masanya orang salah guna.. selalunya, isu yg timbul apabila seseorang itu ditegur/diberi peringatan, maka dijawabnya "dont judge a book by its cover"..

mungkin cara kita menegur tidak kena.. maka perbaikilah cara pendekatan kita.. ada 1001 macam pendekatan yg kita boleh lakukan.. usah berputus asa..

siapa kata we couldnt judge a book by its cover? mestilah orang inggeris yang kata.. sebab tu bahasa inggeris.. huhu.. tak de la.. itu mereka punya phrase.. bkn salah mereka mahupun kata-kata tu.. cuma orang kita je yang kadang-kadang salah guna..

we judge a book by its cover..

[b]‘Umar bin Al-Khattab ra berkata: “Bahawa sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah saw diberi penjelasan dengan wahyu dan wahyu telah terputus, kita sekarang hanya boleh mengambil kira perbuatan yang zahir daripada amalan kamu, sesiapa yang menzahirkan kepada kami kebaikan kami akan percaya dan dekat dengannya, tidak ada hak bagi kami mencampuri perkara yang tersembunyi, Allah akan menghisabnya. Sebaliknya sesiapa yang menzahirkan kejahatan kami tidak akan mempercayai dan membenarkannya, walaupun dia berkata niatnya baik”[/b]

cuba kita bayangkan.. buku yg covernya menarik pun, dari jauh orang akan tertarik untuk mendekatinya dan lihat isi dalamnya.. bila isi dalamnya baik, orang akan beli.. kalau tak baik, orang akan letak semula..

tapi, kalau buku yg covernya tak menarik, takde satu mata pun yang akan terlekat, apatah lagi untuk orang datang mendekatinya.. jadi, baik mana pun isi kandungannya orang takkan tau.. kalau buruk kandungannya lagi la tak yah cerita..

manusia yg terserlah baik budi pekerti tingkah laku akhlaknya, orang senang untuk mendekatinya.. tapi, kalau dia hipokrit, itu urusan dia dengan Allah.. seperti mana kata-kata Sayyidina Umar di atas, kita mengambil kira perkara-perkara yg zahir pada pandangan kita..

namun, kalau manusia yg secara terang-terangan melakukan keburukan atau perkara yang boleh mendatangkan fitnah, logiklah dia dikatakan buku yang cover nya tak menarik tadi.. walaupun hatinya baik atau di masa-masa lain dia baik. dia yang suruh orang beranggapan buruk.

walaupun begitu, sebagai pendakwah, kita bukan melabel mereka ini tidak baik.. tetapi kita menegur dan membenci perkara buruk yang dilakukannya.. sekiranya di masa-masa lain dia baik, alhamdulillah..

beza manusia dan buku.. manusia ni, sekiranya dalamannya baik, maka insyaAllah ia akan terzahir pada tingkah laku.. kalau luarannya kurang baik, ada la yang tak kena dengan dalamannya tu.. apa pun, kalau nampak perkara yang tak baik tu, usahalah.. amar makruf nahi munkar pada apa yang terzahir..



"WE DO JUDGE A BOOK BY ITS COVER,
BUT WE NOT LABEL OR CATEGORIZE IT"

Pertemuan Dengan Cahaya

Written on 3:21 PM by WhoSign

Sembahyang Subuh: Pertemuan dengan Cahaya


Ketika malam melabuhkan tirainya, kegelapan menjadi pekat dan manusia sedang tenggelam dibuai mimpi indah, tiba-tiba ketenangan pada waktu itu dibelah oleh pancaran rabbani dan seruan kudus daripada Tuhan sekalian alam yang melaungkan:

Sembahyang lebih baik daripada tidur!

Ketika itu, jiwa yang beriman bangkit menyahut panggilan tersebut. Ia mengalahkan syaitan dan menentang kemalasan, untuk dia pergi melakukan pertemuan yang paling baik. Ia adalah pertemuan dengan cahaya.


Kerana Allah swt mengasihi orang yang bersembahyang, terutamanya sembahyang subuh. Dia menjadikan mereka berada di dalam perlindunganNya, memakaikan mereka dengan cahayaNya dan menjaga mereka dengan penjagaanNya.

Sesiapa yang bersembahyang subuh, maka dia berada di dalam jagaan Allah. Allah akan memberikan cahaya kepada hatinya, melapangkan dadanya dan dia akan dapat menghirup bayu yang paling baik.

Neraca Sebenar

Sembahyang subuh adalah neraca sebenar bagi keimanan. Sesiapa yang mahu mengetahui kedudukannya di sisi tuhannya, hendaklah dia menggunakan neraca sembahyang subuhnya bagi mengetahui kedudukannya itu.

Jika dia seorang yang menunaikan sembahyang subuh terutamanya di masjid, maka dia berada di atas jalan yang lurus. Dia hendaklah berterusan berada dalam keadaan tersebut. Tetapi jika dia tidak pergi sembahyang subuh dan masih lagi tidur, maka dia hendaklah berwaspada daripada kemurkaan Allah. Dia hendaklah bangun daripada tidurnya sebelum terlambat.

Abdullah bin Umar r.a. berkata: “Apabila kami tidak melihat seseorang pada sembahyang subuh dan isyak, kami akan bersangka buruk terhadapnya.”

Sembahyang subuh menyelamatkan seseorang daripada sifat nifaq bagi sesiapa yang bimbang dirinya menjadi munafiq. Abdullah bin Mas‘ud berkata: “Kami sentiasa bersembahyang subuh bersama dengan Rasulullah saw secara berjamaah. Hanya orang munafiq yang terang nifaqnya sahaja yang tidak pergi menunaikannya.”

Tanyalah diri anda, kenapa anda tidak bersembahyang subuh?
Adakah kerana kelemahan keimanan, atau kerana malas?
Adakah kerana tidak mengetahui ketinggian kedudukan sembahyang subuh?
Adakah kerana anda tidak menghormati Allah, tuhan sekalian alam?
Atau apakah sebabnya?

Ketahuilah kedudukan dan nilai diri anda melalui sembahyang subuh ini.


Faedah-faedah / Fadhilat Sembahyang Subuh

Sembahyang subuh mempunyai banyak faedah, antaranya:

1. Anda akan sentiasa berada di dalam perlindungan dan jagaan Allah swt.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang bersembahyang subuh secara berjamaah, maka dia berada di dalam jagaan Allah.” (Hadis sahih)

2. Ia menyelamatkan anda daripada neraka.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidak akan masuk neraka sesiapa yang bersembahyang sebelum terbit matahari dan sebelum ia tenggelam.” (Hadis sahih)

3. Sembahyang anda disaksikan oleh para malaikat.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Malaikat malam dan siang akan berkumpul pada waktu sembahyang subuh.”

4. Dijanjikan syurga.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang bersembahyang subuh dan asar akan masuk syurga.” (Hadis sahih)


Bagaimana Anda Boleh Bersembahyang Subuh

Peliharalah perkara-perkara berikut, insya Allah anda akan bangun untuk menunaikan sembahyang subuh:

1. Jangan melewatkan makan malam sehingga hampir waktu tidur dan janganlah anda memenuhkan perut anda dengan makanan.

2. Kuatkan azam dan tekad serta ikhlaskan niat dan berdoalah agar Allah membangkitkan anda untuk sembahyang subuh.

3. Adakan suatu cara yang boleh menyebabkan anda bangun, seperti meminta sahabat anda membuat panggilan telefon kepada anda pada waktu subuh, mengunci jam penggera atau meminta seseorang mengetuk pintu rumah anda sebelum dia ke masjid untuk sembahyang subuh.

4. Tidurlah dalam keadaan berwuduk di atas badan sebelah kanan. Jangan lupa membaca zikir sebelum tidur.

5. Sedapat mungkin jangan tidur bersendirian di dalam sebuah rumah.

6. Dari masa ke semasa, ulangi pembacaan anda tentang faedah-faedah sembahyang subuh dan hukuman orang yang meninggalkannya.

7. Berkawanlah dengan kawan-kawan yang baik terutamanya ‘kawan-kawan untuk sembahyang subuh’. Anda hendaklah sama-sama memastikan bahawa kesemuanya telah bersembahyang subuh pada setiap hari.


Halangan-halangan Sembahyang Subuh

Jika anda terdiri daripada orang-orang yang tidak mengerjakan sembahyang subuh apatah lagi di masjid, dan anda sedang mencari-cari jalan keselamatan, maka kami akan tunjukkan kepada anda pemusnah paling besar yang menghalang anda daripada menunaikan sembahyang subuh.

1. Maksiat:

Ia adalah halangan paling besar dan paling memusnahkan. Kerana Allah swt hanya memilih di kalangan para hambaNya yang sentiasa memelihara sembahyang subuhnya. Bagaimana mungkin Allah memilih orang yang berbuat maksiat terhadapNya sepanjang siang.

Abu Sulaiman al-Darani berkata: “Tidak terlepas seseorang daripada sesuatu sembahyang jamaah melainkan kerana satu dosa yang telah dilakukannya.”

2. Kawan yang tidak baik:

Kawan yang tidak baik merupakan perosak paling besar pada hari ini. Maka sesiapa yang mengetahui suatu kebaikan dilakukan oleh kawannya, dia hendaklah berpegang dengannya. Dan sesiapa yang mengetahui suatu keburukan pada kawannya, maka dia hendaklah meninggalkannya sebelum terlambat.

Firman Allah swt (surah al-Furqan ayat 27-28) yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!”

3. Berjaga malam dan tidur lewat:

Sesiapa yang tidur awal, dia akan bangun awal. Inilah hakikat yang sama-sama kita ketahui. Rasulullah saw tidak suka berjaga malam selepas waktu isyak kecuali kerana keperluan penting seperti bermuzakarah tentang ilmu atau bersenda gurau dengan isteri atau berbincang tentang urusan umat Islam.


Kunci-kunci Kebaikan

Waktu akhir malam merupakan saat-saat yang paling afdal. Ia adalah waktu Rasulullah saw mentarbiah satu generasi beriman sehingga mereka mampu menanggung bebanan agama ini dan mampu memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Firman Allah swt (surah al-Muzzammil ayat 5-6) yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.”

Oleh itu, sembahyang subuh dan qiyamullail adalah antara kunci kemenangan dan kelengkapan yang diperlukan untuk memperoleh kejayaan.

Umat yang tidak bersembahyang subuh, tidak berhak mendapat kemenangan.

Goldameir, bekas Perdana Menteri Israel pernah berkata: “Hanya apabila bilangan orang Islam yang menunaikan sembahyang subuh sama seperti bilangan mereka ketika menunaikan sembahyang Jumaat, maka hanya pada ketika itu mereka akan menang dan dapat mengalahkan kita.”

Oleh itu, kita dapati tentera-tentera Islam dahulu memulakan peperangan sebaik sahaja selepas sembahyang subuh sebagai langkah mengikut jejak langkah Rasulullah saw sebagaimana kemenangan yang baginda perolehi pada Perang Khaibar.

Qutuz yang memimpin angkatan tentera Islam pada Perang Ain Jalut juga keluar sebaik sahaja menunaikan sembahyang subuh dan berdoa kepada Allah dengan penuh ketundukan. Beliau menang dalam peperangan tersebut.

Begitu juga dengan Salahuddin al-Ayyubi, beliau menjadikan sembahyang subuh sebagai permulaan peperangan yang dilancarkannya. Alangkah hebatnya peperangan Hittin. Dengan keimanan para tenteranya beliau berjaya membebaskan al-Aqsa.

Maka sembahyang subuh adalah pra syarat kemenangan. Wahai saudaraku! Janganlah anda melewatkan kemenangan!


dipetik daripada:
http://pembina.com.my/


Mengapa Anda Juga Wajib Berdakwah? (1)

Written on 2:34 PM by WhoSign

Dakwah Diperakui Syara’


Pada era ini,
dakwah kepada islam telah menjadi kefardhuan syara’ dan keperluan asasi yang pasti ke atas setiap orang islam.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 71)

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (ali imran: 110)


Terdapat banyak lagi nas al-Quran dan as-Sunnah yang menunjukkan secara qat’ie tentang kemestian menyampaikan dan kefardhuan dakwah.

1. Firman Allah ta’ala yg bermaksud:

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (ali imran: 104)

Ibnu kathir dalam menghuraikan ayat ini berkata: maksud ayat ini ialah perlu ada satu kumpulan daripada umat ini yang menangani perkara ini, sekalipun perkara ini wajib ke atas setiap individiu umat. Dan semua wajib melaksanakannya mengikut keadaannya. Sebagaimana yang tsabit dalam shahih muslim..

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, rasulullah s.a.w bersabda:

Sesiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya. Sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.

2. firman Allah ta’ala yg bermaksud:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran. (al-Asr: 1-3)

Surah ini menunjukkan, mana-mana manusia yang tidak menjalani amal soleh, tidak saling berpesan sesama orang beriman untuk berpegang dan menampilkan kebenaran, dan tidak sabar dengan cubaan bala, tidak redha dengan ketentuan Allah ke atasnya, mereka ini tidak benar-benar beriman dengan Allah dan pastinya dia seorang yang rugi, sesat, dan terabai.

Dengan itu, dakwah kepada Allah merupakan antara kewajipan yang paling wajib pada perspektif islam, bahkan ia wajib ke atas setiap manusia mengikut keadaannya.


3. Allah ta’ala berfirman:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar (at-Taubah: 71)

Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan. sebagian dengan sebagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang munkar dan melarang berbuat yang ma'ruf (at-Taubah: 67)

Allah membezakan antara orang beriman dan munafiq dalam soal menyuruh ma’ruf dan mencegah munkar.

Al-qurtubhi dalam tafsirnya berkata: Allah ta’ala menjadikan menyuruh ma’ruf dan mencegah munkar sebagai pembeza antara orang beriman dan munafiq. Oleh itu, ia menunjukkan sifat orang beriman yang paling khusus ialah menyuruh ma’ruf dan mencegah munkar. Dan yang paling utamanya ialah dakwah kepada islam.

4. Firman Allah yg bermaksud:

Mereka itu tidak sama; di antara ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari, sedang mereka juga bersujud (sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang saleh.

Imam al-Ghazali memberi ulasan berkenaan ayat di atas. Beliau berkata: Allah tidak memperakui mereka bersifat soleh hanya dengan keimanan kepada Allah dan hari akhirat. Sehinggalah Dia menambah menyuruh ma’ruf dan mencegah munkar kepada iman tersebut.

Sesiapa yang menggabungkan diri bersama umat islam, dia mestilah beramal mengikut tuntutan manhaj yang dilakarkan oleh Allah kepada anak bangsa umat ini. Antara butiran manhaj ini ialah: menyampaikan dakwah Allah yang ditampilkan melalui menyuruh ma’ruf dan mencegah munkar. Sesiapa yang cuai dalam melaksanakan hak ini, dia berdosa.

Abang Bagi Duit Dulu La, Nanti Saya Sembahyang..

Written on 1:12 AM by WhoSign

Sudah seminggu berlalu, tapi ku masih ingat lagi bait-bait kalimah tersebut.

Hari jumaat, malam. Di sebuah masjid yang tersergam indah di Melaka. Tatkala jemaah sedang menunaikan solat isya, aku hanya menunggu di suatu sudut di belakang masjid. Isya hari tu aku telah jama’kan sekali dengan maghribnya. Justeru, aku hanya duduk menunggu abangku selesai solat isya dengan jemaah-jemaah yang lain.

Nun jauh dari belakang, ku lihat dari kiri ke kanan, serentak turun naik ruku’ sujud setiap ahli jemaah. Tatkala mata ku tiba di penghujung jemaah, berdekatan dengan pintu, ku terlihat seorang kanak-kanak sedang duduk bermain di muka pintu. Ku perhatikan lama. Dan tatkala mata ku dan matanya bertembung, terus ku memanggilnya ke sisi ku dengan isyarat. Ku menepuk-nepuk karpet di tepi ku mengajaknya duduk bersama.

Terkedek-kedek budak lelaki itu berlari ke arah ku. Ah.. ku rasa bersalah kerana menyebabkan budak itu berlari di dalam masjid. Ku bagi salam padanya sejurus dia sampai kepadaku dan ku tanyakan namanya seperti biasa. Malangnya ku tidak ingat namanya kini kerana ku tidak beri tumpuan pada apa yang diberitahunya dek kerana ku lihat dia asyik tersenyum sahaja.

“datang dengan sapa?” tanyaku padanya.

“kakak.” Jawabnya sambil masih menyeringai dengan giginya yang tak ada.

Terlintas di fikiranku seorang muslimah yang bertudung labuh tatkala mendengar jawapan tersebut. Mungkin semenjak dari tadi lagi dia melihat ke arah adiknya ini dari sebalik pintu kaca gelap itu. Ku menjadi segan. Belum segan ku berpanjangan, tiba-tiba dua orang kanak-kanak dari pintu kaca gelap tadi berlari ke arah ku. Yang seorang masih kecil lagi, mungkin adik kepada budak lelaki tadi, dan yang seorang lagi ku rasakan mungkin abangnya.

Si Abang tadi terus duduk di sebelah adiknya. Ku hulurkan tangan kepadanya. Di sambut ramah dan dicium sambil senyuman sentiasa terukir di bibirnya. Dan seperti biasa..

“siapa nama?” ku mulakan bicara.

“Hajar.” Jawabnya ringkas.

Erk.. ku terkejut dan kehairanan. Inginku pastikan “perempuan ke ni?”, tapi tidak kesampaian. Ku takut mengguris hatinya.

“oo.. kakak ni la.” Balas ku cepat-cepat.

Sekiranya tidak disebutkan namanya tadi, pasti selamanya ku anggap Si Kakak itu lelaki dan abang kepada dua adik-adiknya yang lain. Si Hajar ni, dengan rambutnya yang pendek, berseluar pendek paras peha, memang macam budak lelaki. Muka je nampak keperempuanan. Boleh la kata jambu. Baru darjah dua.

“datang dengan sapa ni?” ku ajukan pada ketiga-tiganya.

“saja jalan-jalan. Rumah dekat je dengan masjid ni. Belakang tu je.” Jawab Hajar.

Sejurus kemudian, mereka pun berlalu, berlari semula keluar melalui pintu kaca gelap tadi.

Ku terkedu sebentar sendirian...

Jemaah baru sahaja selesai solat dan sedang berwirid. Ku lihat abangku masih lagi belum berganjak dari tempatnya. Pantas ku keluar dari pintu utama dan mencari kanak-kanak tadi.

Alhamdulillah. Mereka masih belum balik. Ku sambung perbualan tadi di rak-rak kasut di luar masjid. Sebungkus makanan yang dibawa mereka diletakkan di atas rak di situ.

Aku : Nak gi mana ni?

Hajar : Saja jalan-jalan.

Aku : Datang dengan sapa? (ku ulangi soalan ku tadi)

Hajar : Dengan atuk.

Aku : oo.. dengan atuk.. tak solat sekali ker dengan atuk?

Hajar : ala.. nanti la.. sembahyang kat rumah pun boleh.

Aku : tinggal dengan sapa kat rumah? (saja ku cuba cungkil latar belakang mereka).

Hajar : dengan mak, atuk.

Aku : ayah mana? Kerja apa?

Adik : ayah duduk jauh. Tak balik-balik.

Hajar : ayah kat KL.

Aku : oo..

Seperti yang ku andai kan, budak-budak ni mesti kurang dapat perhatian ibu bapa.

Aku : erm.. gi la solat dulu sementara tunggu atuk tu.

Hajar : tak nak.. Erm.. bang, nak duit raya, bang. (tiba-tiba je mintak duit raya)

Aku : eh, mana boleh tak nak sembahyang.

Hajar : ala.. abang bagi la duit dulu, nanti saya sembahyang la.

Aku : abih, kalau abang tak bagi, kamu tak sembahnyang la? (aduh parah camni..)
nak buat apa dengan duit ni?

Hajar : nak buat beli barang sekolah.

Adik : a’a.. nak buat beli makanan sekali.

Aku : ha.. sapa yang bagi makanan ni?

Adik : Allah.

Aku : dah tu. kalau kita tak sembahyang macam mana Allah nak bagi. Sapa yang bagi kita duit? Sapa yang bagi kita rezeki?

Hajar : Tuhan. (pantas jawab)

Aku : ha.. tahu pun.. Allah yang bagi kita rezeki, macam mana kita bersyukur pada Allah? Kalau orang bagi apa-apa kat kita, kita ucap terima kasih. Macam mana kita nak ucap terima kasih pada Allah? Kita sembahyang la.

Hajar : ye la. Nanti saya sembahyang la, abang bagi la duit raya, bang.

Aku : abih.. lepas-lepas ni kalau abang takde, kamu sembahyang tak?

Hajar : (tersenyap).. (mengangguk)

Aku : janji?

Hajar : (mengangguk)

Aku : ha.. lepas-lepas ni abang takde, tapi Allah nampak tau. Sembahyang tau!


Ku lihat abangku sudah menunggu di dalam kereta. Terpaksa ku tamatkan perbualan ku di situ. Ku hulurkan sejumlah kecil wang kepada mereka dengan harapan dapat membantu menyedarkan mereka walaupun ku tahu harapan itu hanya mungkin tinggal harapan. Sekurang-kurangnya mungkin dapat digunakan untuk membeli makanan atau barang sekolah, itu pun sekiranya aku tidak ditipu. Dan harapan itu ku serahkan bulat-bulat hanya padaNya.

“ya Allah, pada Engkau sahajalah ku berharap. Berilah hidayah kepada mereka.”


Salah kanak-kanak inikah mereka menjadi sebegitu?

Pertolongan seseorang individu itu terbatas sendirian. Gejala yang menular dalam kalangan anak-anak takkan mampu di tanggung hanya satu pihak sahaja. Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting. Sehingga enam tahun pertama dan seterusnya, berilah perhatian yang sepenuhnya kepada mereka. Didiklah dan penuhilah dada mereka dengan didikan agama. Guru-guru di sekolah hanya dapat membantu setelah mereka beranjak usia sedari enam tahun. Itupun berhadapan dengan cabaran daripada rakan sebaya anak-anak itu sendiri.

Ingatlah, sayyid qutb pernah menulis ketika beliau di penjara sewaktu beliau melihat bangsa ini kembali tidak bertamadun:

"If the family is the basis of the society, and the basis of the family is the division of labour between husband and wife, and the upbringing is the most important function of the family, then such a society is indeed civilised.” (Milestones, 1964)

Sekiranya keluarga adalah asas kepada sebuah masyarakat, dan keluarga itu baik, maka insyaAllah baiklah masyarakat tersebut.

Kepada mereka yang seusia dengan ku, sebelia, seremaja, dan yang dibawahnya, ingatlah, suatu hari nanti anda akan berkeluarga, sahutlah kata-kata sayyid qutb di atas, dan persediannya haruslah anda mulakan dari sekarang.

Wallahu a’lam