Search This Blog

Daie-daie Yang Penat

Written on 4:59 PM by WhoSign

Berikut ialah email forward yang diterima.. melihat pada tarikhnya, mungkin sudah lama ucapan ini disampaikan. namun, isinya tetap tidak lapuk dan masih boleh dikongsi sebagai peringatan sampai bila-bila..



Daie-daie Yang Penat

Dalam satu majlis, saya telah dijemput untuk menyampaikan kata-kata penutup kepada ratusan belia lelaki dan perempuan yang usianya sekitar 20–22 tahun. Saya tidak dapat gambarkan ketika itu betapa gembiranya hati ini kerana melihat masih ramai lagi anak-anak muda yang mempunyai kecintaan kepada agama dan sentiasa berjuang menyebarkan fikrah kepada generasi muda yang lain. Mungkin agaknya kerana saya banyak bergaul dengan golongan belia yang sudah hilang nilai-nilai murni agama menyebabkan saya agak tergamam dengan suasana yang ada di hadapan ketika itu.

Namun di dalam hati kecil, saya ada perasaan bimbang tentang masa hadapan mereka 15 atau 20 tahun akan datang. Mampukah bilangan yang mencapai angka 200 orang ini kekal di dalam kancah dakwah atau gugur di tengah jalan ? Ini persoalan yang saya tidak ada jawapan dan tidak berani memberi apa-apa jawapan. Pengalaman peribadi menyaksikan bagaimana begitu ramai da'ie-da'ie yang ketika awal dakwah begitu bersemangat, berkorban siang dan malam, menginfaq harta yang banyak, bibir sentiasa berzikir, fikiran sentiasa berfikir, yang menjadi idola ramai rakan dakwah yang lain. Kini ramai diantara mereka sudah menghilang diri dari persada dakwah.

Kadang-kadang saya rasa bingung tentang kenapa perkara ini terjadi? Dimanakah silapnya tarbiyah yang dilalui ? Suara-suara yang dahulunya mampu menghidupkan hati-hati yang mati, menyegarkan mata yang layu, membakarkan semangat yang hampir pudar kini sudah hilang di arus duniawi yang kian sepi. Mereka adalah da'ie-da'ie yang telah penat. Sekali-sekala, semasa saya duduk bersendirian, saya merasa amat sedih mengingatkan akan nasib teman-teman seperjuangan ini terutama apabila membaca ayat Allah swt:


”...dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini)” – (47:38)


Kebanyakkan mereka bukanlah orang biasa malah mereka memegang kepimpinan, pencetus kepada kerja-kerja dakwah. Hidup mereka sentiasa di jalanan, hanya pulang ke rumah untuk berehat seketika, kadangkala tidur pun di dalam kenderaan. Sungguh mengkagumkan. Saya cuba memikirkan, apakah punca kepada keletihan da'ie-da'ie ini? Saya imbau kembali detik-detik perjalanan dakwah satu persatu, tahun ke tahun, peristiwa demi peristiwa, lalu saya merasakan saya sudah berjumpa dengan jawapannya! Mereka terlalu sibuk mendidik orang lain sehingga mereka lupa untuk mendidik diri sendiri. Mereka jarang merenung diri, mereka tidak pernah beruzlah dan berzikir, mereka lupa untuk menghisab amalan sendiri. Kalaupun mereka lakukan, ia bukan dibuat dengan penuh kesungguhan.

Keghairahan mereka untuk berdakwah tidak setimpal dengan bekalan rohani yang ada. Akhirnya mereka kecundang dengan suasana persekitaran. Mereka tidak dapat bertahan dengan tuntutan kerja yang semakin menekan, tangisan keluarga yang ingin kerehatan, kehendak peribadi yang tidak pernah kehabisan. Tidak kurang juga mereka yang mempunyai semangat terlalu tinggi dan ghairah untuk mencapai natijah yang cepat hingga mereka mencari jalan yang lain. Mereka bukan tidak faham tetapi mereka hilang kekuatan. Mereka sudah penat.

Pengalaman menunjukkan, untuk menghidupkan kembali da'ie-da'ie ini bukanlah satu perkara yang senang apatah lagi mereka ini diistilahkan sebagai ”senior” didalam kancah perjuangan. Mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk kepada mereka dan memberikan keampunanNya terhadap ”jasa-jasa” yang telah mereka curahkan di dalam dakwah. Tiada mereka tiadalah generasi baru hari ini. Kini terus terang saya katakan, apabila saya mendengar ramai da'ie pemuda dan pemudi hari ini begitu sibuk siang dan malam berdakwah sehingga sangat susah untuk cari masa kelapangan, saya tidak lagi kagum seperti dahulu. Ini bukan bermakna saya tidak menghormati mereka malah saya sentiasa berdoa akan kesejahteraan mereka. Mudah-mudahan dakwah akan terus melahirkan manusia-manusia seperti ini.

Namun saya ingin memberi peringatan yang keras kepada da'ie-da'ie ini supaya kesibukan saudara jangan sesekali menyebabkan saudara melupai diri sendiri. Perjalanan dakwah ini jauh, rintangannya sangat besar yang mana kadang-kadang dia diluar kawalan kita. Ini semua memerlukan nafas yang sangat panjang, ketahanan diri yang tinggi, persediaan rohani yang mantap serta kefahaman yang jelas. Ingat, Allah tidak akan jemu terhadap hamba-hambaNya tetapi hambaNyalah yang selalu jemu di dalam beribadah. Jangan tertipu dengan aktiviti yang banyak tetapi sebaliknya nilailah setiap aktiviti itu secara tenang dan objektif, mengukur pencapaiannya baik dari segi ilmiah juga peningkatan hubungan saudara dengan Allah. Jika ianya positif maka bersyukurlah tetapi jika sebaliknya maka beristighfarlah dan perbaikilah segera.

Saya teringat kata-kata Imam Al Ghazali tentang bagaimana syaitan menggoda orang-orang yang kuat beribadat. Jika gagal menghalang, syaitan akan menyuruh abid itu memperbanyakkan lagi ibadat lalu akhirnya dia merasa bangga dan mula memperkecilkan orang lain yang kurang ibadat! Lalu mereka tejerumus dalam perangkap syaitan. Moga- moga Allah melindungi da'ie-da'ie ini.


Oleh: Aminuddin Yahaya
Setiausaha Agong ISMA


Jom Sertai Jambori Remaja Muslim Nasional

Written on 4:51 PM by WhoSign

Bersempena kedatangan cuti sekolah pada bulan Jun ini, Kelab Remaja ISMA (KRIM) akan menganjurkan JAMBORI REMAJA MUSLIM NASIONAL '09 seperti berikut:

Tarikh: 6 - 9 Jun 2009
Lokasi: Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Kumpulan Sasaran: Remaja Lelaki (13 - 17 Tahun)
Yuran: RM 70.00

Maklumat lanjut sila rujuk butiran di bawah:




Daisypath Anniversary tickers