Search This Blog

Along & Angah: Cerita Kerang Bakar

Written on 11:16 PM by WhoSign


“Along, angah! Dah siap ke belum? Kan kita nak pergi makan luar malam ni.”

Seorang ayah malam itu mengajak anak-anaknya makan di luar demi menunaikan hasrat di hatinya untuk meluangkan masa dengan anak-anaknya yang sedang membesar, sedang belajar, dan paling penting sedang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripadanya seorang ayah.

“okey, Along nak makan dekat mana hari ni?” tanya Si Ayah kepada anaknya yang sulung membuka tawaran.

“erm.. entahla.. angah, angah nak makan dekat mana?” Si Along memberi peluang kepada adiknya untuk membuat pilihan.

“err.. Abah je la yang buat keputusan. Abah nak bawa pegi makan dekat mana?” Si Angah pula menyerahkan kata putus kembali kepada Si Ayah, tidak kisah.

“apa la anak-anak ayah ni. Ayah tanya kamu, kamu tanya ayah balik.” Balas Si Ayah. Masing-masing tergelak.

“hmm.. takpe. Hari ni ayah bawa kamu pegi makan kerang dekat Perancis.”

“Kerang? Perancis?” serentak dari Along dan Angah.

“iye.. dekat Perancis. Dekat MFI, Malaysia-France Institute tu. Perancis la tu.” Balas Si Ayah sambil tersenyum dan suasana di dalam kereta riuh lagi dengan gelak ketawa mereka.

Setibanya di kedai makan, Along dan Angah segera ke meja yang berdekatan dengan tempat yang menyediakan kerang.

“abah, abah! Kita duduk sini eh?” Si Angah memanggil Si Ayah.

“a’a abah. Nanti boleh kita tengok Pak Cik tu bakar kerang.” Tambah Si Along.

Si Ayah mengambil tempat selepas memesan makanan. Along di sebelah kanannya, dan Angah di sebelah kiri. Mereka menghadap ke arah Pak Cik yang sedang menyediakan kerang bakar dan kerang rebus. Terdapat sebuah meja segiempat berdekatan dengannya yang penuh dengan mangkuk-mangkuk yang berisi kerang untuk dibakar. Kerang-kerang tersebut ada yang terjelir-jelir lidahnya.

“eee.. Along, tengok tu, kerang tu masih hidup la.” Kata Si Angah kepada abangnya sambil menuding ke arah mangkuk-mangkuk yang berisi kerang tadi.

“eh, mestila. Kalau dah mati, nanti kerang-kerang tu busuk la, kan abah?” balas Si Along sambil mendapatkan kepastian daripada Si Ayah.

Si Ayah hanya mengangguk dan tersenyum melihat keletah anaknya yang dua orang itu.

“habis tu, nanti kerang tu kena bakar hidup-hidup la?” tanya Si Angah lagi kepada Along.

“eh.. a’a la kan, angah. Kesian la kerang-kerang tu nanti.” Si Along buat-buat bersetuju dengan adiknya dan terus menambah lagi.

“masa kerang tu kena bakar, mesti dia terjerit-jerit dekat pak cik tu macam ni.”

“Tolong! Panas pak cik, panas!!” Si Along setengah menjerit sambil mengangkat tangannya dan menggoyangkannya seperti lidah kerang yang sedang dibakar.

Si Ayah tersenyum lagi dan kedua-dua beradik itu tergelak kecil dengan lawak Si Along. Pak Cik Kerang juga tersenyum kecil melihat kerenah anak-beranak itu.

“abah pesan berapa mangkuk kerang tadi, abah?” tanya Si Along setelah terlerai gelak tawa mereka.

“abah pesan semangkuk jer. Kesian dekat kerang-kerang tu nanti kena bakar.” Si Ayah memerli Angah.

“abah ni, kenakan orang pulak.” Rajuk Si Angah.

“along, angah, kerang-kerang tu sebahagian daripada lumrah alam yang dicipta Allah.” Si Ayah memberi penerangan bagi memujuk Angah.

“Maksud abah?” Si Angah mula berminat.

“kerang, haiwan, tumbuhan, sayur-sayuran yang kita makan tu, memang Allah jadikan ketentuannya macam tu. Ada juga yang diciptakan untuk jadi kenderaan, tempat perlindungan, dan lain-lain untuk membantu kehidupan manusia.” Si Ayah bercerita panjang lebar.

Dalam masa yang sama, Pak Cik Kerang datang dan menghidangkan semangkuk kerang bakar yang dipesan bersama-sama dengan sambal kicap sos cili yang amat menyelerakan.

“yey yey! Kerang dah sampai!” serentak Si Along dan Angah.

“nampaknya, memang dah nasib kerang ni la nak masuk dalam perut angah kan, abah?” Si Along sempat mengusik adiknya.

“nasib kau la kerang.. bismillah..” Si Angah tidak mempedulikan abangnya dan tidak menyempat-nyempat nak makan.

“eee.. hitamnya kulit kerang ni!” baru nak pilih satu, Si Angah dengan keletahnya lagi.

“dah kena bakar, memang la hitam.” Si Along mula geram dengan adiknya.

“sudah, sudah.. depan makanan ni, along, angah.” Si Ayah cuba menenangkan anak-anaknya.

Si Along dan Angah diam. Mereka tahu tidak elok banyak bercakap dan bergaduh di depan rezeki. Anak-beranak itu terus menikmati rezeki mereka.

“angah, along..” Si Ayah membuka bicara semula.

“apa yang penting pada kerang-kerang ni, bukannya dia sakit atau tak, kesian atau tak. Tapi, yang perlu kamu berdua anak-anak yang ayah sayang ni kena ambil pengajaran ialah, jangan jadi macam kerang ni.” Tambah Si Ayah lagi.

“Jadi macam mana tu, abah?” tanya Si Angah dan Along serentak.

“kena bakar, hitam, hangus.” Respon Si Ayah.

“Along dengan angah tak faham la, abah.” Si Along ingin tahu lebih lanjut.

“Ayah tak nak, anak-anak ayah ni kena bakar dengan api neraka, muka hitam di akhirat nanti. Ayah nak kamu berdua sentiasa beringat, jauhi daripada melakukan maksiat.” Terang Si Ayah dengan nada berharap.

“ingat, jangan jadi macam kerang bakar ni.” Pesan Si Ayah lagi.

“insyaAllah abah, kami akan ingat pesan abah.” Jawab Si Along.

“angah bayangkan kerang ni kena bakar pun angah dah takut dan tak dapat bayangkan panas api neraka tu, abah.” Si Angah pula memberi respon.

“bagus anak-anak ayah ni. Dah, habiskan makanan ni semua. Nak tambah lagi ke kerang bakar?” tanya Si Ayah.

“TAK NAK, ABAH!” tolak Si Along dan Angah, kesian dengan kerang yang bakal kena bakar.

***

______________________________________

“Mengapa membandingkan dengan yang lebih buruk sedangkan yang lebih baik itu yang patut kita contohi”


Daisypath Anniversary tickers