Search This Blog

Cerita Angah & Adik: Kasih Seorang Tuan?

Written on 10:31 AM by WhoSign



“Adik, asyik tengok tv jer. Cerita apa ni?” Si Angah datang-datang terus mengacau Si Adik.

“Kasih Seorang Tuan.” Jawab Si Adik pendek.

“Cerita pasal apa? Macam best jer.” Tanya Si Angah lagi.

“ni ha.. cerita pasal orang bela binatang. Si Abang Long ni suka sangat kat binatang peliharaan. Dia bela arnab dengan ikan.” Si Adik menerangkan sebaik sahaja iklan disiarkan.

“sama macam Along kita tu la jugak eh?” Si Angah saja mengaitkan dengan Si Along yang tiada di situ.

“erm.. lebih kurang la. Tapi Along kita ni ok. Bagus.” Si Adik membandingkan Si Along nya dengan Si Abang Long yang di dalam tv.

“kenapa pulak? Si Abang Long tu tak baik ker?” tanya Si Angah agak kehairanan.

“ala.. Angah ni banyak tanya la pulak. Ha.. tu dah start cerita tu. tengok je la sama-sama.” Si Adik malas nak bercerita sebaik sahaja iklan tamat dan Cerita Kasih Seorang Tuan diteruskan.

_________________

Si Abang Long baru sahaja balik dari kedai dengan beberapa bungkusan plastik di tangannya.

“Along pergi mana tadi? Apa yang dibelinya tu?” tanya Emak yang sudah lama menunggu Si Abang Long di muka pintu.

“ala mak ni.. Along pergi kedai ikan je tadi, beli lagi empat ekor ikan ni. Pastu singgah kedai hardware, beli dawai jaring untuk buat sangkar arnab yang besar sikit. Ada dalam kereta tu.” Jawab Si Abang Long.


“Along nak buat apa lagi? Ikan dalam akuarium tu dah banyak dah. Banyak-banyak nanti ruang untuk ikan tu sempit, cepat kotor, nanti mati nanti ikannya.” Emak mempersoalkan tindakan Si Abang Long.

“ha! Tu la Mak. Asyik-asyik doakan ikan tu mati. Dah mati nanti ikan-ikan tu baru Mak puas kan?!” Si Abang Long meninggikan suara pada Emak.

Emak hanya mendiamkan diri dan terus ke dapur memasak untuk anaknya itu. Hari ni Si Abang Long tidak bekerja, dia telah memohon cuti daripada bosnya semalam. Si Abang Ngah dan Si Abang Su masih di sekolah. Abah pula seperti biasa bekerja. Rumah sederhana besar yang terletak di hujung jalan itu biasanya sunyi. Namun, baru sebentar tadi Si Abang Long telah memecah kesunyian tersebut, dan dengan tidak disedarinya juga dia telah mengguris hati emaknya.

Si Abang Long mula menyiapkan sangkar baru untuk arnab-arnab kesayangannya di halaman rumah. Sementara itu, arnab-arnab yang comel-comel itu dibiarkan bermain di halaman rumah. Sangkar lamanya diubahsuai dengan dawai jaring yang baru dibeli tadi agar jadi lebih besar.

“Along, makanan dah siap ni! Jom makan sekali!” jerit Mak dari dapur.

Si Abang Long langsung tidak mengendahkan panggilan tersebut. Dia meneruskan kerja-kerjanya.

“Along, makan dulu. Nasi dengan lauk tu dah sedia atas meja tu.” Mak muncul di halaman setelah panggilannya tadi tidak disahut.

“ye Mak.” Balas Si Abang Long pendek, tapi masih lagi membelek-belek dawai jaring yang ingin dibuat sangkar arnab itu.

Beberapa jam berlalu. Nasi dan lauk di bawah tudung saji tidak berusik. Mak menjenguk ke halaman rumah, hanya tinggal arnab-arnab yang tidak bersangkar. Si Abang Long tiada, sangkar pun belum siap lagi. Mak menjengah ke bilik Si Abang Long, merengkot Si Abang Long tidur kepenatan. Jam menunjukkan pukul 4.00 petang.

“Along, bangun.. Dah solat zohor ke belum ni?” kejut Mak perlahan.

“emh..” Si Abang Long antara sedar tidak sedar.

“Along, bangun...” Mak mencuit dan menggoyang-goyangkan bahu Si Abang Long.

“iyer!” Si Abang Long meninggi suara tapi tetap tidak berganjak daripada tempat tidurnya.

“Along, bangun! Ni yang Mak tak suka Along bela binatang-binatang ni. Sampai tinggal solat akhirnya. Bangun cepat! Tinggal berapa minit je sebelum asar tu. Bangun!!” Mak mula bertegas mengejut sambil menepuk bahu dan kaki Si Abang Long.

“iye la Mak!” Si Abang Long menengking pulak sambil berjalan perlahan ke bilik air. Entah apa yang Si Abang Long tidak puas hati agaknya. Samada kerana Mak mengaitkan dengan binatang-binatang yang disayanginya atau sebab Mak menjerit-jerit mengejutkannya.

Emak ke halaman sementara Si Abang Long menunaikan solat. Sekejap lagi Abah akan pulang dari tempat kerja. Mak mengira arnab-arnab yang berkeliaran di halaman.

“ai? tak cukup ni. Mana pergi lagi seekor ni?” Mak bermonolog sendirian sambil matanya meliar mencari seekor lagi arnab comel berwarna putih.

Si Abang Long muncul di muka pintu.

“Along, arnab ni tak cukup seekor ni. Yang warna putih tu takde.” Beritahu Mak pada Si Abang Long.

“macam mana boleh takde pulak? Mana dia pergi?” Si Abang Long mempersoalkan.

“tadi Along tidur biar je dia berkeliaran, mana la Mak tahu dia pergi mana.” Mak menyangkal.

“tu la Mak. Along tidur kejap camtu pun Mak tak leh nak jagakan arnab-arnab ni!” Si Abang Long marah menyalahkan Mak nya.

Puas mereka mencari di sekitar halaman rumah, kelibat arnab putih tersebut langsung tidak kelihatan. Tidak lama kemudian, bunyi kereta menderum di luar hadapan rumah, Abah sudah pulang.

“assalamualaikum. Ada apa ni? Cari apa? Abah nak masukkan kereta ni..” sapa Abah sambil membuka pintu pagar untuk park keretanya di halaman rumah.

“jangan la bukak pintu pagar tu! nanti arnabnya keluar!” Si Abang Long tiba-tiba menjerit marah ke Abah. “pastu nanti kalau dah kena lenyek arnab tu, suka la Abah kan?!” tambah Si Abang Long tidak berasas.

Abah yang tidak tahu apa yang berlaku terus mematikan enjin kereta dan menutup semula pintu pagar. Mak menerangkan segalanya pada Abah. Abah hanya mendiamkan diri dan berlalu masuk ke dalam.

“pandai-pandai la Along, nak bela sangat binatang-binatang ni kan...” monolog Abah di dalam hatinya.

“tengok tu, bukannya nak tolong cari..” Si Abang Long marah lagi.

Semua celah pokok dan pasu telah digeledah. Si Abang Long bertambah geram. Mak masuk ke dalam untuk membuat air bagi minum petang. Tidak lama kemudian Abah muncul.

“ha.. tengok tuan ko tu. bela nak, tapi tak pandai jaga. Dibiar je ko berkeliaran, menyorok belakang sofa dalam rumah ni, bukannya dia tahu..” Abah menyindir Si Abang Long. Arnab putih ditangannya diletakkan. Terkedek-kedek arnab tersebut berlari-lari di halaman rumah. Si Abang Long menangkapnya di telinga dan meletakkannya dengan arnab-arnab yang lain seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Lewat petang, arnab-arnab yang comel dan cantik-cantik bulunya itu dapat merasa sangkar baru yang lebih besar. Malamnya pula, keluarga tersebut makan bersama-sama anak-beranak.

“Lusa kita nak buat rumah terbuka. Jadi, nak kemas halaman rumah tu.” Abah mula berbicara. “Along, esok pindahkan arnab-arnab tu ke belakang rumah.” Tambahnya lagi mengarah.

“tak nak!” betah Si Abang Long pendek.

“Along pindahkan la ke belakang rumah tu sementara. Kat depan tu nanti orang datang bau busuk.” Mak memujuk Si Abang Long perlahan. “nanti Angah dengan Adik tolong Along sekali..” tambah Mak menyuruh Si Abang Ngah dan Si Abang Su.

“tak nak!” Si Abang Long menekan pendiriannya.

Pada keesokan harinya, Si Abang Long bertelagah dengan Mak dan Abah. Si Abang Long tetap dengan pendiriannya. Lagipun baginya arnab-arnab tersebut untuk dipertonton kepada tetamu-tetamu yang datang. Banyak kali Si Abang Long meninggi suara dan menengking Mak dan Abah. Si Abang Ngah dan Si Abang Su hanya mendiamkan diri. Mereka tidak tahu untuk berpihak pada siapa. Mereka pun suka dengan arnab-arnab itu kalau diletak di halaman. Tapi mereka pun tahu tak elok meninggikan suara dan menengking Mak Abah. Jauh di sudut hati mereka ingin menjerit...

“Along! Tu kan Mak dengan Abah!”

Namun, jeritan itu hanya terpendam di hati. Hanya terzahir dengan titisan jernih yang mula bertakung di mata masing-masing. Dan pertelagahan masih berterusan.

_______________

Si Adik memperlahankan volume suara tv dek kerana adegan jerit menjerit tersebut. Si Angah bingung melihat cerita tersebut. Sampai hati Si Abang Long dalam cerita itu meninggikan suara dan mengherdik ibu bapanya. tidakkah Si Abang Long mengerti adab-adab seorang anak terhadap kedua ibu bapanya? Apakah Si Abang Long sanggup menjadi anak derhaka? Hanya kerana sayangnya pada binatang? Apakah sayangnya pada binatang akan membawanya ke syurga? Lupakah Si Abang Long akan syurga di bawah tapak kaki ibu?

Patut lah tajuk cerita tersebut “Kasih Seorang Tuan?”, diakhiri dengan tanda soal. Begitukah kasih seorang tuan terhadap binatang belaannya? Sampai sanggup melawan kedua ibu bapanya? Begitukah kasih seorang tuan? Kasih yang melebihi daripada kasih kepada kedua ibu bapa?

Si Angah tidak lagi menumpukan pada cerita yang ditontonnya. Fikirannya jauh melayang..

Mungkin kalau Sang Arnab yang dibela itu boleh berkata-kata, pastinya dia lebih rela mati daripada terus dibela dan menjadi punca penderhakaan Si Abang Long terhadap ibu bapanya.

Kalau Si Abang Long yang hanya membela itu mempunyai kasih sebegitu terhadap binatang yang dibelanya, apatah lagi seorang ibu yang bukan sahaja membesarkan malah yang melahirkan dan menjaga Si Abang Long sejak kecil lagi.

Kalau matinya Sang Arnab itu, mungkin Si Abang Long akan bersedih dalam seminggu dua, kemudian akan dibelinya arnab yang baru sebagai pengganti. Tapi, kalau pergi ibu Si Abang Long buat selamanya, mana kan mungkin dia dapat mencari pengganti.

Dan yang terakhir di fikiran Si Angah..

Yang ditontonnya hanyalah sebuah cerita, yang hanya sebuah lakonan.. tetapi bagaimana jika benar-benar ada manusia di dunia ini sebegitu rupa? Minta jauh-jauh bukan dirinya, bukan adiknya, mahupun bukan alongnya. Sebuah lakonan boleh diubah-ubah jalan ceritanya, tetapi jika di dunia, apa yang sudah berlaku, biar pun sebentar masa tidak akan dapat diundur lagi.

“angah.. oit.. apa yang angah termenung tu? cerita dah abis dah..” tegur Si Adik merentap lamunan Si Angah.

“eh.. dah abis eh? Macam mana abisnya?” Si Angah terpinga-pinga.

“laa.. abis tadi tu angah tengok apa? Angah, angah..” Si Adik pun kehairanan.


Biar kasih mu pada haiwan, jangan sampai melebihi kasih kepada kedua orang tua mu
Biar kasih mu pada insan, ingatlah kasih ibu bapa mu melebihi segalanya

“hargailah ibu bapa mu sementara mereka masih ada”


Daisypath Anniversary tickers