Search This Blog

Mengapa Anda Juga Wajib Berdakwah? (1)

Written on 2:34 PM by WhoSign

Dakwah Diperakui Syara’


Pada era ini,
dakwah kepada islam telah menjadi kefardhuan syara’ dan keperluan asasi yang pasti ke atas setiap orang islam.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 71)

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (ali imran: 110)


Terdapat banyak lagi nas al-Quran dan as-Sunnah yang menunjukkan secara qat’ie tentang kemestian menyampaikan dan kefardhuan dakwah.

1. Firman Allah ta’ala yg bermaksud:

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (ali imran: 104)

Ibnu kathir dalam menghuraikan ayat ini berkata: maksud ayat ini ialah perlu ada satu kumpulan daripada umat ini yang menangani perkara ini, sekalipun perkara ini wajib ke atas setiap individiu umat. Dan semua wajib melaksanakannya mengikut keadaannya. Sebagaimana yang tsabit dalam shahih muslim..

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, rasulullah s.a.w bersabda:

Sesiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya. Sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.

2. firman Allah ta’ala yg bermaksud:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran. (al-Asr: 1-3)

Surah ini menunjukkan, mana-mana manusia yang tidak menjalani amal soleh, tidak saling berpesan sesama orang beriman untuk berpegang dan menampilkan kebenaran, dan tidak sabar dengan cubaan bala, tidak redha dengan ketentuan Allah ke atasnya, mereka ini tidak benar-benar beriman dengan Allah dan pastinya dia seorang yang rugi, sesat, dan terabai.

Dengan itu, dakwah kepada Allah merupakan antara kewajipan yang paling wajib pada perspektif islam, bahkan ia wajib ke atas setiap manusia mengikut keadaannya.


3. Allah ta’ala berfirman:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar (at-Taubah: 71)

Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan. sebagian dengan sebagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang munkar dan melarang berbuat yang ma'ruf (at-Taubah: 67)

Allah membezakan antara orang beriman dan munafiq dalam soal menyuruh ma’ruf dan mencegah munkar.

Al-qurtubhi dalam tafsirnya berkata: Allah ta’ala menjadikan menyuruh ma’ruf dan mencegah munkar sebagai pembeza antara orang beriman dan munafiq. Oleh itu, ia menunjukkan sifat orang beriman yang paling khusus ialah menyuruh ma’ruf dan mencegah munkar. Dan yang paling utamanya ialah dakwah kepada islam.

4. Firman Allah yg bermaksud:

Mereka itu tidak sama; di antara ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari, sedang mereka juga bersujud (sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang saleh.

Imam al-Ghazali memberi ulasan berkenaan ayat di atas. Beliau berkata: Allah tidak memperakui mereka bersifat soleh hanya dengan keimanan kepada Allah dan hari akhirat. Sehinggalah Dia menambah menyuruh ma’ruf dan mencegah munkar kepada iman tersebut.

Sesiapa yang menggabungkan diri bersama umat islam, dia mestilah beramal mengikut tuntutan manhaj yang dilakarkan oleh Allah kepada anak bangsa umat ini. Antara butiran manhaj ini ialah: menyampaikan dakwah Allah yang ditampilkan melalui menyuruh ma’ruf dan mencegah munkar. Sesiapa yang cuai dalam melaksanakan hak ini, dia berdosa.

Abang Bagi Duit Dulu La, Nanti Saya Sembahyang..

Written on 1:12 AM by WhoSign

Sudah seminggu berlalu, tapi ku masih ingat lagi bait-bait kalimah tersebut.

Hari jumaat, malam. Di sebuah masjid yang tersergam indah di Melaka. Tatkala jemaah sedang menunaikan solat isya, aku hanya menunggu di suatu sudut di belakang masjid. Isya hari tu aku telah jama’kan sekali dengan maghribnya. Justeru, aku hanya duduk menunggu abangku selesai solat isya dengan jemaah-jemaah yang lain.

Nun jauh dari belakang, ku lihat dari kiri ke kanan, serentak turun naik ruku’ sujud setiap ahli jemaah. Tatkala mata ku tiba di penghujung jemaah, berdekatan dengan pintu, ku terlihat seorang kanak-kanak sedang duduk bermain di muka pintu. Ku perhatikan lama. Dan tatkala mata ku dan matanya bertembung, terus ku memanggilnya ke sisi ku dengan isyarat. Ku menepuk-nepuk karpet di tepi ku mengajaknya duduk bersama.

Terkedek-kedek budak lelaki itu berlari ke arah ku. Ah.. ku rasa bersalah kerana menyebabkan budak itu berlari di dalam masjid. Ku bagi salam padanya sejurus dia sampai kepadaku dan ku tanyakan namanya seperti biasa. Malangnya ku tidak ingat namanya kini kerana ku tidak beri tumpuan pada apa yang diberitahunya dek kerana ku lihat dia asyik tersenyum sahaja.

“datang dengan sapa?” tanyaku padanya.

“kakak.” Jawabnya sambil masih menyeringai dengan giginya yang tak ada.

Terlintas di fikiranku seorang muslimah yang bertudung labuh tatkala mendengar jawapan tersebut. Mungkin semenjak dari tadi lagi dia melihat ke arah adiknya ini dari sebalik pintu kaca gelap itu. Ku menjadi segan. Belum segan ku berpanjangan, tiba-tiba dua orang kanak-kanak dari pintu kaca gelap tadi berlari ke arah ku. Yang seorang masih kecil lagi, mungkin adik kepada budak lelaki tadi, dan yang seorang lagi ku rasakan mungkin abangnya.

Si Abang tadi terus duduk di sebelah adiknya. Ku hulurkan tangan kepadanya. Di sambut ramah dan dicium sambil senyuman sentiasa terukir di bibirnya. Dan seperti biasa..

“siapa nama?” ku mulakan bicara.

“Hajar.” Jawabnya ringkas.

Erk.. ku terkejut dan kehairanan. Inginku pastikan “perempuan ke ni?”, tapi tidak kesampaian. Ku takut mengguris hatinya.

“oo.. kakak ni la.” Balas ku cepat-cepat.

Sekiranya tidak disebutkan namanya tadi, pasti selamanya ku anggap Si Kakak itu lelaki dan abang kepada dua adik-adiknya yang lain. Si Hajar ni, dengan rambutnya yang pendek, berseluar pendek paras peha, memang macam budak lelaki. Muka je nampak keperempuanan. Boleh la kata jambu. Baru darjah dua.

“datang dengan sapa ni?” ku ajukan pada ketiga-tiganya.

“saja jalan-jalan. Rumah dekat je dengan masjid ni. Belakang tu je.” Jawab Hajar.

Sejurus kemudian, mereka pun berlalu, berlari semula keluar melalui pintu kaca gelap tadi.

Ku terkedu sebentar sendirian...

Jemaah baru sahaja selesai solat dan sedang berwirid. Ku lihat abangku masih lagi belum berganjak dari tempatnya. Pantas ku keluar dari pintu utama dan mencari kanak-kanak tadi.

Alhamdulillah. Mereka masih belum balik. Ku sambung perbualan tadi di rak-rak kasut di luar masjid. Sebungkus makanan yang dibawa mereka diletakkan di atas rak di situ.

Aku : Nak gi mana ni?

Hajar : Saja jalan-jalan.

Aku : Datang dengan sapa? (ku ulangi soalan ku tadi)

Hajar : Dengan atuk.

Aku : oo.. dengan atuk.. tak solat sekali ker dengan atuk?

Hajar : ala.. nanti la.. sembahyang kat rumah pun boleh.

Aku : tinggal dengan sapa kat rumah? (saja ku cuba cungkil latar belakang mereka).

Hajar : dengan mak, atuk.

Aku : ayah mana? Kerja apa?

Adik : ayah duduk jauh. Tak balik-balik.

Hajar : ayah kat KL.

Aku : oo..

Seperti yang ku andai kan, budak-budak ni mesti kurang dapat perhatian ibu bapa.

Aku : erm.. gi la solat dulu sementara tunggu atuk tu.

Hajar : tak nak.. Erm.. bang, nak duit raya, bang. (tiba-tiba je mintak duit raya)

Aku : eh, mana boleh tak nak sembahyang.

Hajar : ala.. abang bagi la duit dulu, nanti saya sembahyang la.

Aku : abih, kalau abang tak bagi, kamu tak sembahnyang la? (aduh parah camni..)
nak buat apa dengan duit ni?

Hajar : nak buat beli barang sekolah.

Adik : a’a.. nak buat beli makanan sekali.

Aku : ha.. sapa yang bagi makanan ni?

Adik : Allah.

Aku : dah tu. kalau kita tak sembahyang macam mana Allah nak bagi. Sapa yang bagi kita duit? Sapa yang bagi kita rezeki?

Hajar : Tuhan. (pantas jawab)

Aku : ha.. tahu pun.. Allah yang bagi kita rezeki, macam mana kita bersyukur pada Allah? Kalau orang bagi apa-apa kat kita, kita ucap terima kasih. Macam mana kita nak ucap terima kasih pada Allah? Kita sembahyang la.

Hajar : ye la. Nanti saya sembahyang la, abang bagi la duit raya, bang.

Aku : abih.. lepas-lepas ni kalau abang takde, kamu sembahyang tak?

Hajar : (tersenyap).. (mengangguk)

Aku : janji?

Hajar : (mengangguk)

Aku : ha.. lepas-lepas ni abang takde, tapi Allah nampak tau. Sembahyang tau!


Ku lihat abangku sudah menunggu di dalam kereta. Terpaksa ku tamatkan perbualan ku di situ. Ku hulurkan sejumlah kecil wang kepada mereka dengan harapan dapat membantu menyedarkan mereka walaupun ku tahu harapan itu hanya mungkin tinggal harapan. Sekurang-kurangnya mungkin dapat digunakan untuk membeli makanan atau barang sekolah, itu pun sekiranya aku tidak ditipu. Dan harapan itu ku serahkan bulat-bulat hanya padaNya.

“ya Allah, pada Engkau sahajalah ku berharap. Berilah hidayah kepada mereka.”


Salah kanak-kanak inikah mereka menjadi sebegitu?

Pertolongan seseorang individu itu terbatas sendirian. Gejala yang menular dalam kalangan anak-anak takkan mampu di tanggung hanya satu pihak sahaja. Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting. Sehingga enam tahun pertama dan seterusnya, berilah perhatian yang sepenuhnya kepada mereka. Didiklah dan penuhilah dada mereka dengan didikan agama. Guru-guru di sekolah hanya dapat membantu setelah mereka beranjak usia sedari enam tahun. Itupun berhadapan dengan cabaran daripada rakan sebaya anak-anak itu sendiri.

Ingatlah, sayyid qutb pernah menulis ketika beliau di penjara sewaktu beliau melihat bangsa ini kembali tidak bertamadun:

"If the family is the basis of the society, and the basis of the family is the division of labour between husband and wife, and the upbringing is the most important function of the family, then such a society is indeed civilised.” (Milestones, 1964)

Sekiranya keluarga adalah asas kepada sebuah masyarakat, dan keluarga itu baik, maka insyaAllah baiklah masyarakat tersebut.

Kepada mereka yang seusia dengan ku, sebelia, seremaja, dan yang dibawahnya, ingatlah, suatu hari nanti anda akan berkeluarga, sahutlah kata-kata sayyid qutb di atas, dan persediannya haruslah anda mulakan dari sekarang.

Wallahu a’lam

Daisypath Anniversary tickers