5 Mim Ke Arah Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam
Written on 2:10 AM by WhoSign
“Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam”
Seseorang muslim yang cemerlang sentiasa berusaha ke arah menjadikan hari-harinya lebih baik daripada hari-hari yang sebelumnya. Namun, dugaan dan cabaran telah sedia menanti dan bukan mudah bagi mereka untuk menjadi orang-orang yang beruntung. Hanya mereka yang berusaha yang akan mengecap kemanisan ‘hari ini lebih baik daripada semalam’.
5 mim proses ke arah hari ini lebih baik daripada semalam:
معاهدة (mu’ahadah)
Mu’ahadah bermaksud perjanjian. Setiap muslim mestilah ingat, sedar, dan menghayati bait-bait perjanjian yang dilafazkan tiap-tiap hari dalam solat mereka. Perjanjian ini mengikat diri mereka dengan Allah.
إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العلمين
Sesungguhnya solat mereka, ibadat mereka, hidup mereka, dan mati mereka adalah kerana Allah, Tuhan Yang Mentadbir sekalian alam.
Justeru, kesedaran dan penghayatan yang timbul inilah yang akan menjadi pemandu dan penuntun kehidupan seharian mereka daripada terpesong ke arah lembah kesesatan.
مراقبة (muraqabah)
Muraqabah dalam bahasa modennya ialah CCTV iaitu merasakan diri sentiasa diawasi, diperhati, dan direkod. Manakan tidak, setiap gerak dan tingkah laku muslim itu sentiasa dicatat oleh malaikat yang ditugaskan untuk mencatatkan amalan mereka.
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إلا لَدَيْهِ رَقِيْبٌ عَتِيْد
Tiada satu ucapan pun yg diucapkannya melainkan adanya malaikat roqib dan atid yang mengawasinya dan mencatatnya. (surah Qaf : ayat 18)
Justeru, dengan perasaan muraqabah ini menjadikan muslim itu sentiasa berwaspada dengan setiap perbuatan dan tingkah lakunya. Kewaspadaannya bagaikan seseorang yang berjalan di atas jalan yang penuh duri. Begitu berhati-hati dan takut sekali sekiranya tersilap langkah.
محسابة (muhasabah)
Muhasabah bermaksud refleksi diri iaitu memeriksa dan membuat penilaian terhadap perkara-perkara yang telah dilakukan. Sedangkan nabi sendiri telah menyatakan bahawa manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Cuma sejauh mana kesilapan itu dikoreksi, dijauhi, dan tidak diulang lagi.
Saidina Omar berpesan:
حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسِبُوا
Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan
Selagi mana muslim itu masih hidup, kesilapan-kesilapan yang dilakukan masih boleh diperbetulkan sekiranya muslim itu menghisab (memeriksa) dirinya dari masa ke masa. Tetapi, kesilapan-kesilapan yang dihisab di akhirat nanti tiada lagi perbetulan melainkan penyesalan kerana mahkamah akhirat bukan untuk menukar betul salah tetapi untuk menunjukkan yang betul atau salah.
Justeru, dengan muhasabah seseorang muslim itu dapat menilai, memeriksa, dan menganalisis baik buruk yang telah dilakukan sepanjang hari lalu merancang dan memperbaikinya untuk kehidupan hari esok.
معاقبة (mu’aqabah)
Mu’aqabah bererti denda iaitu hukuman kepada diri sendiri atas kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan. Mu’aqabah merupakan rentetan daripada muhasabah. Manakan mungkin muslim itu dapat mengesan kesilapan-kesilapan yang dilakukan tanpa muhasabah.
Denda merupakan peneguhan berbentuk negatif bagi mendapatkan tingkah laku atau perbuatan yang diinginkan. Begitulah tafsirannya sekiranya mengikut kaedah pedagogi.
Namun, denda dalam konteks ini yang dimaksudkan ialah seperti contoh sekiranya seseorang muslim itu tertinggal untuk membaca al-Quran pada hari ini, maka esoknya perlu dibaca dua kali ganda. Dengan erti kata lain, denda dengan perkara-perkara kebaikan.
Justeru, mu’aqabah membentuk disiplin diri muslim dan dapat meningkatkan amalan-amalan kebaikan serta menjauhi perkara-perkara keburukan.
مجاهدة (mujahadah)
Mujahadah pula bererti bersungguh-sungguh. Perubahan yang bermakna pastinya tidak mudah dan memerlukan kesungguhan, kekuatan, kesabaran, dan keistiqamahan. Sekiranya kebaikan yang dikejar, dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh, insyaAllah itulah yang akan diperoleh.
وَالَّذِيْنَ جَاهَدُوا فِيْنَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا
Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami.
Justeru, mujahadah, kesinambungan daripada mim-mim yang sebelumnya, memastikan setiap tindakan yang perlu dilakukan terlaksana. Kejujuran muslim itu, keikhlasannya serta kemahuannya yang kuat akan mendorong lagi dirinya ke arah menjadikan hari ini lebih baik semalam.