Search This Blog

Cerita 5 Ekor Kucing, Seekor Ikan, Dan Air Simbah

Written on 9:18 PM by WhoSign


Dalam perjalanan menghantar isteri mengajar al-quran di putrajaya, sambil-sambil mendengar radio IKIM, tertarik dengan siaran ulangan motivasi pagi. Begini ceritanya..

Ahli saintis telah meletakkan dua ekor kucing ke dalam satu bekas kaca yang besar. Di hujung atas bekas tersebut diletak pula seekor ikan sebagai umpan kucing-kucing tadi. Kebiasaan bagi kucing, pantang nampak ikan, pasti nak diterkamnya. Ahli saintis pula telah merancang untuk menyimbah air apabila kucing cuba untuk mendapatkan ikan tersebut.

Kucing yang pertama, mula mencakar dinding kaca untuk melompat mendapatkan ikan. Melihat keadaan tersebut, ahli saintis pun menyimbah air ke atas kucing. Pada mulanya, kucing pertama tidak mengalah. Berkali-kali ia cuba memanjat untuk mendapatkan ikan di atas. Selepas lima enam kali cubaan, kucing pertama akhirnya mengalah, tunduk dan tidak cuba mendapatkan ikan lagi.

Kucing kedua juga sama seperti kucing pertama. Walaupun melihat keadaan kucing pertama disimbah air setiap kali cubaan, kucing kedua tetap cuba mendapatkan ikan itu. ahli saintis pun tetap menyimbah air setiap kali cubaan dan akhirnya selepas beberapa kali cubaan, kucing kedua juga mengalah.

Kemudian, ahli saintis memasukkan kucing ketiga ke dalam bekas tersebut. Kali ini, ahli saintis tidak merancang untuk menyimbah air jika kucing ketiga cuba untuk mendapatkan ikan.

Sudah namanya kucing, tak boleh nampak ikan. Kucing ketiga pun ingin cuba mendapatkan ikan tersebut. Tiba-tiba datang kucing pertama dan kedua ke arah kucing ketiga. Tidak semena-mena kucing ketiga mengalah tanpa mencuba untuk mendapatkan ikan.

Mungkin kucing pertama dan kedua telah berbisik kepada kucing ketiga, “jangan cuba dapatkan ikan tu, bahaya, tengok apa yang terjadi kepada kami, habis basah kuyup.”

Kali ini, ahli saintis memasukkan kucing keempat dan kelima serta masih tidak bercadang untuk menyimbah air jika berlaku cubaan mendapatkan ikan.

Kucing keempat nampak sahaja ikan terus ingin cuba mendapatkannya. Tiba-tiba datang kucing ketiga kepadanya, serta-merta kucing keempat pun tidak jadi meneruskan hasratnya. Barangkali dibiskkan juga perkara yang sama seperti apa yang dibisikkan kucing pertama dan kedua kepadanya.

Kucing kelima pula mengambil giliran mencuba mendapatkan ikan yang masih berada di atas dari tadi. Tidak dipedulikannya kucing pertama, kedua, ketiga, dan keempat. Melihat keadaan itu, seperti yang dirancang, ahli saintis tidak menyimbah air. Akhirnya, kucing kelima mendapat habuannya.

Lihatlah cerita di atas. Banyak perkara yang boleh kita ambil iktibar. Bayangkan ikan itu adalah impian kita, maka kucing yang mana yang ingin kita jadi?

Sesetengah orang, sudahlah mereka gagal, disebarkan pula kegagalan mereka dan menghasut orang lain supaya tidak mencuba. Sesetengah orang pula, terlalu percaya dengan kata-kata orang lain sehingga tiada keyakinan diri dan langsung tidak mencuba. Dan ada sesetengah orang, mereka mempunyai keyakinan diri, tidak mudah percaya kata-kata orang sehingga mereka sendiri mencubanya.

Daisypath Anniversary tickers