Written on 11:34 PM by WhoSign
Coretan Wasiat Buat Adik-adikku
Adik-adikku yang dikasihi,
Dakwah dan tarbiyah ini bukan dengan mengikut-ikut orang,
Dakwah dan tarbiyah ini bukan di waktu-waktu lapang,
Dakwah dan tarbiyah ini bukan dilihat pada kuantiti,
Dakwah dan tarbiyah ini bukan dikau keseorangan sendiri.
Tapi adik-adikku yang dikasihi,
Dakwah dan tarbiyah ini kewajipan amal yang dikau imani,
Dakwah dan tarbiyah ini menuntut pengobanan masa, harta, dan diri,
Dakwah dan tarbiyah ini kualiti itu yang lebih penting,
Dakwah dan tarbiyah ini bersama Allah, mujahid, dan mukmin di sekeliling.
Adik-adikku yang dikasihi,
Dakwah dan tarbiyah ini jalannya penuh dugaan dan cabaran, janganlah dikau lemah kerana itu. Ingatlah janji-janji Allah sebagai penguat, perbanyakkan amal mu buat bekalan semangat.
Adik-adikku yang dikasihi,
Dakwah dan tarbiyah ini merubah dan menuntut perubahan, janganlah dikau malu kerana itu. Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, usah malu dengan manusia tetapi malulah kepada Tuhan.
Adik-adikku yang dikasihi,
Dakwah dan tarbiyah ini dikaulah rantai yang meneruskan, mereka telah memulakannya dan dikau bukan pengakhirannya. Usah berputus asa, langkah bermula dengan nafas panjang, gerhana hanya sementara sinar mentari pastikan menjelang.
Adik-adikku, ku berdoa kita kan terus bersama dalam amal dakwah ini....
Posted in
Dakwah / Agama
|
Written on 12:07 AM by WhoSign
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Maksud: Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah qalbu. (hadis riwayat bukhari dan muslim) .
Rata-rata orang melayu akan menterjemah qalbu itu sebagai hati. ada pula yang mengatakan qalbu itu jantung. jadi yang mana satu benar?
Kamus Dewan Bahasa
Mengikut kamus dewan bahasa, hati mempunyai beberapa maksud iaitu 1. organ dalaman yang berwarna perang kemerah-merahan (memang organ hati). 2. jantung 3.batin (tempat perasaan, pengertian).
Perkaitan dan Perbandingan Dengan Bahasa Lain
Dalam bahasa inggeris, perkataan heart diterjemah sebagai hati.
you are always in my heart - awak selalu di hati saya
Namun, dalam istilah sains, heart bermaksud jantung sedangkan hati adalah liver.
heart disease - penyakit jantung
heart attack - serangan jantung
liver disease - penyakit hati
Perkaitan dan Perbandingan Gambar
Dalam istilah cinta, cinta digambarkan dengan bentuk love seperti di atas dan dikaitkan dengan heart (sweetheart). Cuba bandingkan, gambar yang mana lebih serupa dengan bentuk love? Saya nampak gambar jantung lebih mirip kepada bentuk love.
Perkaitan Dengan Bahasa/Budaya Arab
Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.
Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).
Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753).
Perkaitan Hadis Dengan Ilmu Sains
Hati merupakan organ homeostasis yang memainkan peranan penting dalam proses metabolisma dalam manusia dan haiwan. Hati mempunyai pelbagai fungsi termasuk menyimpan glikogen, mensintesis protein plasma, dan menyahtoksik dadah.
Sedangkan jantung ialah organ (seketul daging/mudghah) yang mengepam darah ke seluruh badan (seluruh jasad berhubung dengan jantung).
Antara kedua-dua organ di atas, peranan dan kesan yang lebih mirip dengan maksud hadis adalah jantung. Justeru, qalbu yang sebenar adalah merujuk kepada jantung.
Kesimpulan
Qalbu dalam hadis di atas adalah lebih tepat merujuk kepada organ jantung. Namun, boleh diterjemah sebagai hati kerana jantung juga termasuk dalam salah satu maksud hati mengikut dewan bahasa.
Adapun yang lebih penting dalam hadis di atas ialah tindakan yang perlu kita laksanakan berdasarkan hadis di atas iaitu menjaga hati (jantung) kita daripada perkara-perkara haram, maksiat, dan melalaikan kerana ia akan mempengaruhi segala tindak-tanduk kita.
Sebagai tambahan, setelah memahami maksud sebenar qalbu yang lebih tepat, maka dapatlah ia membantu kita memahami dengan lebih mendalam ayat-ayat al-quran yang menggunakan kalimah qalbu.
Posted in
Lain-lain
|