Search This Blog

Cerita Tiga Beradik - Helaian Berlubang

Written on 8:53 AM by WhoSign



Pada suatu pagi yang nyaman..

“Kat sini rupanya anak-anak Abah. Ingatkan tak bangun tidur lagi masing-masing. Along, Angah, dan Adik tengah buat apa tu?” Sapa Abah memecah kesunyian. Biasanya pagi-pagi sebegitu riuh rendah rumah dengan suara Si Tiga Beradik.

“Angah tengah melukis ni Abah. Abah, Abah, cuba tengok ni, cantik tak Angah lukis?” jawab Si Angah menarik perhatian Abah. Dari tadi entah apa yang dilukisnya, khusyu’ sungguh gayanya. Si Tiga Beradik berkerumun dekat Abah.

“Uish.. anak Abah lukis, mestilah cantik. Ni gambar awan hujankan?” puji Abah pada Angah sambil melihat lukisan yang dilukis Si Angah.

“Ala.. Itu pokoklah. Bukan awan. Tak cantiklah tu Angah lukis..” Rajuk Si Angah, diambil semula lukisannya daripada Abah sambil mencebik bibir.

“Abah tahu. Saja je.” Abah mengusap kepala Si Angah. “Along buat kerja sekolah ke tu?” Tanya Abah pada Si Along pula.

“Na’am ya Abi. Hazihi wajibat manzili li. Wa ana masyghulun ya Abi.” Jawab Si Along sambil meneruskan kerja sekolahnya. Si Along sendiri tersenyum simpul dengan jawapannya.

“Kerja sekolah Bahasa Arab la tu.” Abah pun tersenyum kecil. “Ha, Adik ni buat apa pulak kertas banyak-banyak ni?” tanya Si Abah pada Si Adik pula.

“Adik tu takde kerja, Abah. Buat sampah je kerjanya.” Tiba-tiba Si Along menyampuk mengusik Si Adik.

“Ai.. tadi kata masygulun sangat. Sempat pulak mengusik Adik.” Si Abah memerli Si Along. Si Along tersengih-sengih.

“Ala.. Adik takde kerja sekolah. Cikgu takde bagi pun. Nak melukis macam Angah tu, Adik tak reti.” Jawab Si Adik tidak mempedulikan usikan Si Along.

“Habis tu Adik buat apa tu?” tanya Abah lagi.

“Adik main lipat-lipat je kertas ni. Buat jet, kapal terbang, sampan, burung, katak.. lagi tak tau dah. heee” jawab Si Adik sambil menunjukkan ‘hasil kerja’nya.

“Oo.. kreatifnya Adik. Bagus-baguslah anak-anak Abah ni.” Puji Abah kepada Si Tiga Beradik.

“Ha.. Dengan kertas-kertas ni, Abah ada satu permainan. Nak main tak?” Abah mendapat idea untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak yang amat disayanginya.

“Nakkk!” sahut Si Tiga Beradik serentak.

“Okey.. mula-mula Along, Angah, Adik ambil sehelai kertas.” Abah memulakan permainannya.

“Okey dah.. lepas tu?” Si Adik tak sabar-sabar.

“Semua dah ada kertas kan.. sekarang, lipat kertas tu.” Abah memberikan arahan.

“Lipat dua ke Abah?”
“Macam ni?”
“Lipat macam mana, Abah?”

Si Tiga Beradik tertanya-tanya.

“Ala.. lipat je macam mana pun asalkan kertas tu berlipat.” Abah menerangkan ringkas. “Lepas ni tak boleh tanya lagi tau.” Abah menambah peraturan dalam permainan.

“okey dah.”
“dah.”
“lepas tu?”

Si Tiga Beradik ternanti-nanti.

“Lepas tu, pusingkan kertas tu.” Abah memberi arahan pendek.

“Ok.”
“Emm.”
“Dah. Pastu?”

Si Along pusingkan kertas mengikut pusingan jam. Si Angah pula pusingkan depan belakang. Manakala Si Adik pusingkan terbalik atas ke bawah. Si Tiga Beradik sepakat untuk tidak sama.

“Sekarang koyakkan penjuru atas kertas tu.” Abah meneruskan.

“Aaa.. okey..”
“Hmm.. ha..”
“Erm.. Yang ni lah..”

Si Along dan Si Angah mengoyak penjuru atas sebelah kanan kertas, Si Along koyak kecil, Si Angah koyak besar. Si Adik pula mengoyak penjuru atas sebelah kiri kertas.

“Hmm.. Bagus-bagus. Lepas ni, arahannya dua patah perkataan sahaja. Along, Angah, Adik buat lah macam mana pun.” Abah menerangkan ringkas sebelum memberi arahan.

“Okey.. sekarang, lipat dua.” Arah Abah ringkas.

“kejap.. hmm.. okey..”
“lipat sini.. lipat sini.. okey dah.”
“lipat dua eh.. hmm.. pastu?”

Si Along dan Si Adik melipat dua kertasnya, Si Along melipat separuh manakala Si Adik melipat di tengah-tengah. Si Angah pula melipat dua kali, kanan dan kiri.

“Dah lipat, lepas tu.. koyak bawah.” Abah meneruskan.

“Dah..”
“Jap.. okey..”
“Koyak sinilah..”

Si Along terus koyak sedikit bawah kertasnya. Si Angah pula koyak habis seluruh bahagian bawah kertas. Manakala Si Adik mengoyak penjuru bawah kertas setelah terfikir-fikir sebentar.

“Okey.. bagus.. sekarang dengar betul-betul.. Abah cakap sekali je..” Abah menyuruh Si Tiga Beradik bersedia menumpukan perhatian.

“Buka lipatan.. Lipat atas.. Lipat bawah.. Lipat tepi.. Koyak sikit..” Abah memberi arahan berturut-turut.

“Buka ni.. lipat sini.. lipat sini pulak.. lipat lagi.. pastu koyak..”
“Buka.. buka.. buka.. pastu lipat.. lipat.. lipat.. pastu koyak..”
“Buka.. lipat.. buka.. lipat.. err....”

Si Along dengan khusyuknya menurut arahan yang diberikan satu persatu. Si Angah juga seperti Si Along, hanya cuma caranya yang berbeza. Tinggal Si Adik tergaru-garu kepala dan tersengih-sengih.

“Baiklah.. sekarang cuba buka kertas masing-masing..” Abah menyuruh Si Tiga Beradik membuka lipatan kertas.

“Tengok.. Along punya lubang sikit je..” Si Along menunjukkan kertasnya.

“Haha.. Adik punya banyak lubang..” Si Angah menggelakkan Si Adik.

“Ala.. Angah punya kertas tu jadi lagi kecik..” Si Adik membalas.

Abah tersenyum kecil melihat telatah anak-anaknya.

“Along, Angah, Adik....” Abah mengalihkan perhatian Si Tiga Beradik kepadanya.

“Cuba tengok kertas masing-masing.. Semua ada lubang-lubangkan..” Abah memulakan bicaranya. Si Tiga Beradik melihat kertas masing-masing sambil mengangguk-angguk.

“Biarpun lubang tu kecil atau besar, banyak atau sedikit, di tengah atau di hujung, semua kertas tu ada lubang.. Samalah macam kita ni, manusia.....” Abah memberikan analogi.

“Apa yang samanya Abah? Tak faham lah..” Si Adik yang pertama sekali menyuarakan kebingungannya.

“Kita sebagai manusia, ada kelemahan masing-masing.. lubang-lubang ni gambaran kelemahan-kelemahan tersebut. Mungkin kita ada kelemahan pada suatu perkara yang bukan menjadi kelemahan orang lain, dan mungkin juga kelemahan orang lain tiada pada diri kita. Yang pastinya, kita tetap mempunyai kelemahan, sikit atau banyak, kritikal atau tidak, ia tetap suatu kelemahan...” Abah menerangkan panjang lebar. Abah mengambil nafas seketika.

“...Tapi.. cuba Along, Angah, dan Adik satukan kertas-kertas ni..” Abah mengambil kertas-kertas Si Tiga Beradik dan menyatukannya. “Cuba tengok.. ada nampak lubang lagi tak?” Abah menunjukkan kertas-kertas yang sudah dikumpulnya.

“Eh.. a’ah lah..”
“Tak nampak lubang pun, Abah.”

Si Along dan Si Angah mengiyakan. Si Adik hanya menggelengkan kepala.

Abah menyambung lagi...

“Abah nak anak-anak Abah jadi macam kertas yang dikumpulkan ni.. Biarpun Along, Angah, dan Adik ada kelemahan masing-masing.. Kalau Along, Angah, Adik sentiasa bersatu, saling lengkap-melengkapi, insyaAllah kekurangan-kekurangan yang ada dapat sama-sama diatasi dan dielakkan.”

“Begitu juga dalam masyarakat.. Kalau kita hidup sendiri-sendiri, pasti akan berlaku banyak kelemahan. Along, Angah, Adik, ingat.. Inilah kepentingan berjemaah.” Abah mengakhiri nasihatnya sambil mengusap kepala Si Tiga Beradik.


Daisypath Anniversary tickers