Written on 7:52 PM by WhoSign
Jika ada sedikit masa, cuba duduk depan tv, bukalah channel apa pun. Cerita seram, mistik, hantu, khurafat, ilmu hitam, dan sewaktu dengannya, itulah yang bakal anda tonton. Kebelakangan ini, masyarakat Malaysia disajikan dengan pelbagai cerita sedemikian. Daripada drama tv hingga ke filem semuanya berkaitan dengan hantu, hantu, hantu.. hantu pun kalau tengok boleh tergelak. Ye lah, cerita komedi hantu pun ada.
Fenomena ini bukan hanya kebetulan, juga bukan sekadar untuk memenuhi minat masyarakat. Pada pendapat saya, pastinya ada agenda di sebaliknya. Apa agendanya, terpulang kepada anda untuk memikirkannya.
Hanya satu yang ingin saya kongsikan. Biasanya yang suka menghadap tv ni ialah kanak-kanak. Bayangkan, tiap-tiap hari cerita yang mereka tonton ialah cerita hantu, cerita seram. Bayangkan pula dialog ini yang berlaku...
Anak: Mak, teman.. takutlah.
Mak: eleh, tadi nak tengok sangat cerita hantu. Padan muka..
Anak: ala.. mak ni..
Mak: Nak takut apanya? Ada nampak ke hantu tu? Nak takut apa pada benda yang tak nampak, tak ada.
Anak: ala.. yelah yelah..
Lama kelamaan...
Anak: nak takut apa pada Allah, tak nampak pun.
Atau lebih teruk..
Anak: Allah ada ke? Tak pernah nampak pun..
Mungkin ini sekadar cebisan rasa yang saya terfikir. Namun, perkara yang sering ditonton berulang kali pastinya ada meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam diri tanpa disedari. Kalau belum ada anak, fikir-fikirkanlah juga kerana anak orang lain itu jugalah yang bakal mencorak masa depan anak kita.
Wallahu a’lam
Posted in
Dakwah / Agama,
Isu-isu
|
Written on 4:59 PM by WhoSign

“harga minyak RON 97 naik lagi 10 sen”
Tajuk berita yang pastinya buat masyarakat Malaysia berasa amat tidak puas hati. Baru bulan lepas naik, awal tahun ni naik lagi. Sudah tu, dulu sebelum kenaikan lagi akan diberitahu, kini dah naik baru umumkan. Untuk mengelak bantahan atau demonstrasi mungkin.
Rentetan itu, harga barang pula naik. Semakin naik harga bahan mentah, semakin naik harga barang jualan. Sudah menjadi satu hipotesis yang pasti kesimpulannya. Jika diperpanjangkan hipotesis itu, maka akan jadi seperti berikut. Semakin naik harga bahan mentah, semakin naik harga barang jualan. Semakin naik harga barang jualan, semakin pening kepala golongan pendapatan sederhana dan semakin gugur rambut golongan pendapatan rendah dan miskin. Tetapi bagi golongan pendapatan tinggi mungkin hanya gatal-gatal kepala bak ada kelemumur sahaja. Itupun kalau ada rasa gatal-gatal, saya tidak tahu kerana saya bukan tergolong dari yang berpendapatan tinggi.
Definisi kerajaan bagi negara maju ialah rakyatnya berpendapatan tinggi. Apakan daya. Akhirnya, budaya masyarakat Malaysia kerja untuk mengejar naik pangkat dan naik gaji. Kerja biar semberono, asalkan dapat naik pangkat dan gaji. Naik tangga dan lepaskan batok begitu sahaja dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Ah. Tiada maknanya amanah. Cuba tanya apa itu amanah? Mungkin Amanah Saham Berhad sahaja yang bermain di fikiran masing-masing.
Banyak lagi perkara dalam kehidupan seharian kita yang ada kita ingin ia naik dan ada yang kita tak ingin ia naik. Suka atau tidak kadang-kadang perkara-perkara tersebut tetap naik atau tak naik-naik.
Tapi janganlah sampai kita lupa, ada juga perkara yang kita kena naikkan, kena tingkatkan. Jika kita boleh bekerja keras kerana inginkan gaji dan pangkat kita naik, mengapa kita tiada keinginan dan usaha untuk perbaiki amalan-amalan ibadah kita agar pahala dan ganjaran yang kita kumpul naik beratnya dalam neraca timbangan Allah? Jika kita tak berkuasa menghalang harga minyak naik, mengapa kita tak boleh menjauhi perkara-perkara mungkar dan maksiat yang kita ada kuasa agar dosa kita tak naik? Tak begitu?
Dan akhirnya, janganlah sekali-kali kita lupa tugas kita untuk menaikkan syariat Islam!
Posted in
Dakwah / Agama,
Motivasi / Tips
|
Written on 1:45 AM by WhoSign
"assalamualaikum warahmatullah..."
salam ke kiri, dan terus bangkit bangun. tiada sepatah kata, tiada seuntai doa yang dipohon. fizikal tubuh itu tergesa-gesa mengejar duniawi.
"eh......" tapi hatinya berbisik.
“Berdoalah kepadaku, nescaya akan kuperkenankan. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembahku akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
teringat maksud firman Allah dan ceramah yang pernah didengar.
"takpelah. lain kalilah..."
Seharian berlalu. Lima kali solat berlalu. Waktu-waktu mustajab juga berlalu. Dalam masa senang, dalam masa sibuk. Masa terus berlalu dari hari ke hari. Hanya di kala kesusahan, dalam tekanan perasaan, barulah butir-butir doa rayu dipohon.
Namun, masih lagi "menggeleng kepala" dan tergesa-gesa bangkit selepas solat. Masih lagi "eh...." dan masih lagi "takpelah.. lain kali.."
Sehinggalah suatu ketika di antara azan dan iqamah...
"Bang, maaf mengganggu, saya nak tanya sikit. Hari tu saya ada dengar ceramah, kalau kita tak berdoa pada Allah, kita ni sombong. Sombong dengan manusia pun keji, inikan pula dengan Tuhan. Bukan boleh sembarangan. So, saya risaulah. Kadang-kadang saya tak sempat pun nak duduk serba serbi lepas solat. Wirid-wirid, tadah tangan. Tapi ada lah jugak doa dalam hati, cuma tak sempat tadah tangan betul-betul camtu. Sebab kadang-kadang saya masa kerja singgah solat, tak dapat lama-lama. Dikira sombong ke saya tak tadah tangan doa tu?"
Senyap.. "dia tak sempat tadah tangan, tapi tetap berdoa. aku... asyik takpelah, lain kali.. dia tak tahu, tapi aku tahu.. Ya Allah, malunya aku padaMu.. aku diperli atas kesombonganku selama ini.."
Saf! Allahu akbar Allahu akbar!
Posted in
Dakwah / Agama
|