Search This Blog

Siri Menundukkan Pandangan: Kenapa Perlu Menundukkan Pandangan?

Written on 1:56 AM by WhoSign


Kembali ke: Tundukkan Pandangan?
Terus ke: Penguat Hati Menundukkan Pandangan?

-----------------------------


Kenapa Perlu Menundukkan Pandangan?

Kita dah tahu apa yang dimaksudkan dengan menundukkan pandangan. Bukan merendahkan pemandangan mata, tapi tunduk daripada pandangan yang haram. Sekarang kita perkuatkan lagi kefahaman kita, mengapa perlu kita tundukkan pandangan?


1. Untuk melaksanakan perintah Allah.

Lihat kembali ayat 30 surah an-Nur:


قُل لِّلْمُؤمِنِيْنَ يَغُضُّوْا مِنْ أَبْصَرِهِمْ وَيَحْفَظُوْا فُرُوْجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللهَ خَبِيْرٌ بِمَا يَصْنَعُوْنَ

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (an-nur:30)


Ayat di atas penuh dengan mesej yang ingin disampaikan. Ia mengandungi tiga pengertian; mengajar adab, peringatan, dan ancaman.

Mengajar adab – menyekat pandangan daripada perkara yang haram. Patuh dengan apa yang diperintahkanNya maka beradab denganNya. Tapi jika perintah ini dilanggar, maka biadablah namanya.

Peringatan – yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Tidak patut dilupa, kesucian hati perlu sentiasa dijaga, supaya ketaatan sebagai seorang hamba itu bertambah.

Ancaman – sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Tidakkah berasa takut apabila memikirkan setiap gerak geri dan tingkah laku yang diperbuat sentiasa diperhatikan?

Seorang soleh pernah ditanya: bagaimana cara saya menundukkan pandangan? Beliau berkata: caranya ialah dengan engkau mengetahui bahawa pandangan Allah kepada engkau lebih cepat daripada pandangan engkau kepada apa yang dipandang.


2. Untuk menyahut seruan nabi.

Bukankah nabi pernah bersabda:


Wahai Ali! Jangan engkau ikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua. Sesungguhnya milikmu adalah yang pertama dan yang kedua bukan milikmu. (riwayat Ahmad)


Namun, bukanlah bermakna dengan sengaja kita mencari pandangan yang pertama. Dengan erti kata sengaja mata melilau mencari pemandangan yang lazat-lazat. Dan jauh sekali bermaksud dibolehkan kita mengekalkan pandangan pertama tanpa kelip sehingga hilang daripada pemandangan. Sesungguhnya Jarir r.a pernah bertanya kepada nabi. Kata Jarir r.a:


Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang hukum pandangan yang mengejut. Rasulullah berkata: Palingkan pandangan mu. (riwayat Muslim dan at-Tirmizi)


Pandangan mengejut adalah terpandang dengan tanpa niat sengaja. Bukannya sengaja memandang atau sengaja melilau lalu terpandang. Kata nabi, palingkan pandangan mu. Serta merta! Alihkan pandangan terus! Bukannya dibiarkan lama memandang tanpa kelipan.


3. Sebagai jaminan memasuki syurga.

Sebab ini sesuai dengan hadis ‘Ubadah bin as-Shomit r.a:

Jaminlah enam perkara daripada diri kamu, nescaya aku jamin syurga untuk kamu; berlaku benarlah apabila kamu bercakap, tepatilah kalau kamu berjanji, laksanakan apa yang diamanahkan kepada kamu, pelihara kemaluan kamu, tundukkan pandangan kamu dan tahan tangan kamu. (riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)


4. Untuk menjauhi zina.

Selaras dengan firman Allah:


وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَحِشَةً وَسَاءَ سَبِيْلا

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’:32)


Dan daripada Abu Hurairah r.a, sabda nabi s.a.w:


Telah dituliskan (ditentukan Qadar) bahagian seorang manusia daripada perzinaan. Dia pasti mendapati ketentuannya itu, tanpa dielakkan lagi; zina kedua mata ialah memandang (perkara yang haram). Zina kedua telinga ialah mendengar (perkara yang haram). Zina lidah ialah bercakap (perkara yang haram). Zina tangan ialah memegang atau mengambil (secara tidak benar). Zina kaki ialah melangkah (ke tempat maksiat). Hati berkeinginan dan bercita-cita. Dan kemaluan akan membenarkan (melakukan zina) atau mendustakannya (tidak melakukannya). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Jika pepatah melayu mengatakan dari mata jauh ke hati, penyair arab pula menyatakan mata adalah utusan kepada hati:

Setiap peristiwa (bencana) puncanya adalah pandangan..
(sebagaimana) kebanyakan api bermula daripada percikan api yang kecil.

Seseorang itu selagi punya mata yang dibolak-balikkan..
(memerhati) pada mata-mata (wanita) yang lemah gemalai..
selamanya dia berdiri dalam bahaya.

Dia menyeronokkan biji matanya dengan apa yang memudharatkan isi hatinya..
jangan diucapkan selamat datang kepada kegembiraan yang membawa kemudharatan.


5. Kerana manusia itu dhaif.

Allah berfirman:


وَخُلِقَ الإِنْسَانُ ضَعِيْفًا

Dan manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (an-Nisa’: 28)


Ibnu al-Qayyim berkata: Apabila satu pandangan kamu terjebak dalam perkara haram, ketahuilah bahawa ia adalah penyala ‘api peperangan’. Apabila engkau tundukkan pandangan, Allah menjadi penolong orang beriman sehingga mereka tidak perlu terlibat dalam ‘kancah peperangan’>


6. Kerana pandangan membahayakan kestabilan fikiran.

Percayalah sesungguhnya pandangan-pandangan (terhadap perkara yang haram) bagaikan orang kelaparan, pasti ingin lagi dan lagi, namun tidak pula ia kenal erti kenyang. Kerana nafsu manusia itu tidakkan pernah puas. Akhirnya ia membawa bahaya kepada akhlak ‘suci diri’. Tercalarnya akhlak itu, hilang kesuciannya, maka diri itu bukan lagi orang yang baik akhlaknya. Malah terhadap kestabilan fikiran, apabila telah memandang pasti akan tergambar, terbayang-bayang, terawang-awang dan akhirnya membawa kepada kecelaruan fikiran dan kecamuk hati.


-----------------------------

Kembali ke: Tundukkan Pandangan?
Terus ke: Penguat Hati Menundukkan Pandangan?


If you enjoyed this post Subscribe to our feed

No Comment

Post a Comment

Daisypath Anniversary tickers